JAS Perak kesan 52 ketidakpatuhan EIA kuari
Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti 52 ketidakpatuhan syarat kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) oleh sembilan syarikat kuari di sini, dengan enam daripadanya beroperasi dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Segari Melintang.
Ketidakpatuhan itu dikesan JAS Perak dalam Ops Gempur Kuari selama dua hari berakhir hari ini, bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak dan Jabatan Perhutanan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi hijau negeri, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, susulan itu, 42 kompaun bernilai RM84,000 dikeluarkan selain 12 notis dan sembilan tindakan di lapangan.
Katanya, JAS juga akan membuka 10 kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan, sementara dua syarikat kuari dikenakan perintah berhenti kerja segera kerana menjalankan aktiviti berhampiran lokasi terjejas di alir air bermusim dan Pantai Teluk Akuan, Segari.
“Semua tindakan diambil mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Antara kesalahan yang dikesan ialah gagal menyediakan kawalan hakisan dan kelodakan berkesan serta gagal menyediakan sistem tertutup pemindahan batuan.
“Perintah henti kerja pula kita keluarkan untuk menghalang projek kuari berkenaan daripada terus beroperasi dan dalam tempoh itu, mereka perlu melaksanakan kerja baik pulih,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di Pantai Remis di sini, hari ini.
Mohd Akmal berkata, hampir semua kuari itu sudah beroperasi lebih 20 tahun lalu di bawah EIA iaitu enam di dalam kawasan HSK Segari Melintang, manakala selebihnya di tanah persendirian.
“Ops Gempur Kuari akan terus dilaksanakan bagi memastikan pihak berkenaan beroperasi mengikut perundangan yang ditetapkan, selain memberi perhatian terhadap kepentingan alam sekitar,” katanya yang menggalakkan orang ramai melapor sebarang kejadian pencemaran alam untuk tindakan segera.
Sementara itu, mengulas mengenai Pantai Teluk Akuan yang terjejas akibat aktiviti kuari, Mohd Akmal berkata, hasil siasatan mendapati berlaku pemendapan kelodak di alur air sungai.
“Ketika pemeriksaan air di situ jernih, cuma sedimen berlaku di alur air sungai berdekatan dan warnanya juga menunjukkan kesan sedimen,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pantai itu yang dipercayai menjadi lokasi pendaratan penyu bertelur, terjejas didakwa akibat aktiviti kuari.
Turut dilapor terjejas adalah Air Terjun Tanjung Batu didakwa akibat aktiviti sama dan pembersihan hutan. – HM