‘Kami tak paksa anda beli produk, jangan paksa kami bergambar dengan anda’

‘Kami tak paksa anda beli produk, jangan paksa kami bergambar dengan anda’

 

‘Kami tak paksa anda beli produk, jangan paksa kami bergambar dengan anda’

Pelakon Zain Saidin berang apabila dilabel sebagai artis sombong susulan enggan bergambar dengan pengunjung yang tidak membeli produk jualannya di sebuah acara di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Tampil mempertahankan tindakannya, Zain menegaskan dia hanya akan memberi peluang peminat untuk bergambar sekiranya mereka membeli produk yang dijual terlebih dahulu.

“Saya berniaga dii sini, di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu.

“Saya sampaikan kepadanya, boleh nak bergambar dengan kami tetapi beli produk dulu kerana bergambar bersama bukan kena bayar tetapi bila beli produk dan sokong kami, foto itu sebagai ‘free gift’.

“Kami bukan berlagak sebab tak mahu bergambar dan kecoh isu ini. Kami datang acara ini bukan naik pentas menyanyi dan sebagainya tetapi sebagai peniaga,” katanya dalam sebuah video TikTok.

Tambah suami kepada aktres, Rozita Che Wan atau Che Ta itu, meletakkan syarat sebegitu adalah haknya sebagai peniaga yang perlu menanggung pelbagai kos untuk membuka gerai jualan di acara tersebut.

“Kami bukan hadir sebagai artis jemputan dan dibayar sebaliknya membuka gerai jualan dan berniaga. 

“Peniaga seperti kami perlu tanggung banyak perbelanjaan termasuk kos penginapan, penerbangan, bayar pekerja dan makan serta minum.

“Semua itu pakai duit. Jadi, bila mereka datang ke gerai jualan dan hanya untuk bergambar dan tetapi tak beli produk.

“Adakah kami ke sini hanya untuk bergambar sahaja kemudian balik? Boleh tak saya mintak semua gambar yang kalian ambil itu dan gunakannya untuk bayar segala bil selepas pulang nanti?” katanya lagi.

Dia juga meminta orang ramai yang melemparkan kecaman memahami situasinya yang berniaga untuk mencari sesuap nasi dan menyokong dengan membeli produk dijualnya.

“Sila faham, kami hadir sebagai peniaga dan kelebihan kami adalah artis dan anda boleh bergambar dengan kami sekiranya anda beli barang kami untuk sokong.

“Kami pun kena sara hidup, bukan duit jatuh dari langit di atas rumah kami. Kami juga kena usaha dan bekerja. Nak kutuk, saya tak kisah. 

“Tak mahu sokong beli produk pun okey tetapi jangan paksa kami pula bergambar dengan anda. Semudah itu, kalau kami dibayar penganjur, kami okey untuk bergambar,” ujarnya.

Tiada niat untuk berkasar membalas kecaman netizen, Zain turut mencadangkan selebriti lain melakukan hal sama.

“Kalau bergambar sahaja, anda tak beli produk, kami mati. Bukan nak berkasar tetapi bila orang serang dan tuduh macam-macam, tolonglah faham. 

“Namun, saya sangat yakin dengan rezeki Allah. Produk kami pun berkualiti dan bukannya jual benda yang tidak bagus. Saya pun cadangkan artis lain buat begitu bahawa kita ini ada nilai,” ujarnya.

Dalam masa sama, bintang drama Oh My English itu bersyukur isu tersebut berlaku kerana berpeluang menjelaskan situasi yang dilaluinya.

“Kami pun ada nilai, tak akan semua benda nak percuma. Saya suka benda ini berlaku sebab ada peluang untuk jelaskan. Mana yang nak datang sokong, teruskan.

“Jadi, harap boleh faham. Mana yang bebal dan bangang sangat untuk faham, terpulang, semua saya katakan ini adalah logik.

“Maaf kalau ada yang terasa dengan video ini dan saya maafkan juga kepada mereka. Saya juga nak masuk syurga dengan mudah,” ujarnya lagi.

@zainsaidin23

Kadang kita cuba paham orang tapi orang tak penah paham kita. Kadang kita cuba jaga perasaan diorg tapi dorang tak penah nak jaga perasaan kita. Ape2 pun selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Dan Batin #raya #aidilfitri #sabah

♬ original sound – Zain Saidin – Zain Saidin

Terdahulu, seorang individu memuat naik luahan dalam Instagram yang sedih apabila mendakwa permintaannya untuk bergambar dengan Zain dan Che Ta tidak dilayan.

Dakwanya, Zain meminta dia membeli produk yang dijual terlebih dahulu sekiranya ingin bergambar.