Lelaki dedah jana hampir RM20k sebulan jadi ‘rider’, tinggal di villa bernilai RM1.4 juta

Lelaki dedah jana hampir RM20k sebulan jadi ‘rider’, tinggal di villa bernilai RM1.4 juta

 

Lelaki dedah jana hampir RM20k sebulan jadi ‘rider’, tinggal di villa bernilai RM1.4 juta

Biarpun kerjaya sebagai penghantar makanan sering dipandang sebelah mata, rider p-hailing Singapura ini membuktikan kerja itu boleh menjana pendapatan lumayan mencecah antara S$4,000 (RM13,258.44) hingga S$6,000 (RM19,887.66) sebulan.

Afiq Zayany, 30-an, bukan sahaja mampu menyara hidup, malah tinggal di sebuah villa dua tingkat bernilai RM1.4 juta di Johor Bahru, Johor hasil kerja kerasnya sebagai rider sepenuh masa.

Menerusi saluran YouTube miliknya Ringgit & Dollars, Afiq berkongsi dia mampu menjana kira-kira S$200 (RM662.92) sehari, sambil menunjukkan bukti tangkap layar pendapatan mingguannya menerusi aplikasi.

Dalam temubual bersama AsiaOne, Afiq mengakui kehidupannya berubah sejak menjadi rider sepenuh masa.

Katanya, dulu dia bekerja sebagai ejen insurans, namun kini lebih selesa dengan jadual fleksibel dan kerja keras menjadi kunci utama.

“Saya ada jadual tetap dan saya sangat disiplin. Hujan atau panas, saya tetap keluar kerja saya hanya ambil cuti jika perlu saja.

“Biasanya saya keluar seawal jam 7 pagi dan habiskan kerja 2 petang dengan mengambil kira-kira 25 pesanan sehari.

“Lepas kerja ada masa untuk rehat,” katanya.

Afiq menunjukkan pendapatan seharinya. FOTO Agensi

Menurutnya, kerja sebagai rider memang ada cabarannya termasuk apabila motosikalnya rosak.

“Bukan sahaja kos baiki motosikal tinggi, saya juga tidak boleh bekerja beberapa hari.

“Tetapi itulah risiko dalam bidang ini.

“Ada juga pengalaman manis antaranya apabila pelanggan meninggalkan minuman dan snek di luar rumah sebagai tanda penghargaan,” katanya.

Menurut Afiq, tiga nilai utama untuk berjaya sebagai rider iaitu disiplin, konsisten dan berwawasan.

“Rider pun perlukan disiplin. Bangun awal, keluar kerja ikut masa.

“Fleksibiliti itu satu kelebihan, tetapi jangan salah guna sebaliknya jadikan ia kelebihan untuk capai sasaran.

“Saya bukan nak berlagak, cuma nak tunjuk yang ia memang boleh dicapai kalau kita konsisten,” katanya.