JAKIM siasat program motivasi tampil wanita menari bogel

JAKIM siasat program motivasi tampil wanita menari bogel

 

JAKIM siasat program motivasi tampil wanita menari bogel

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama pihak berkuasa agama Selangor menjalankan siasatan berhubung penganjuran program motivasi rumah tangga yang dikaitkan dengan aktiviti mencolok mata dan syirik seperti tular di media sosial.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, ia bagi memastikan maklumat yang diperoleh adalah jelas dan sahih sebelum sebarang tindakan yang wajar diambil selaras peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurutnya, pihaknya juga mengambil perhatian serius terhadap kebimbangan orang awam susulan penularan isu membabitkan penganjuran program motivasi rumah tangga berkenaan.

“Kerajaan MADANI melalui JAKIM secara konsisten bersama pihak berkuasa agama negeri, tegas dalam menangani sebarang isu yang membabitkan kepentingan umat Islam khususnya berkaitan keharmonian institusi kekeluargaan, akhlak dan pemeliharaan nilai-nilai Islam.

“Usaha bersepadu ini juga adalah sebahagian daripada komitmen JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam menangkis sebarang gejala dan anasir menyimpang serta pengaruh budaya songsang dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai khususnya umat Islam diseru supaya tidak terpengaruh dengan fahaman dan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai budaya tempatan.

“Orang ramai disaran untuk sentiasa bekerjasama dengan JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri bagi menyalurkan maklumat serta informasi berkaitan isu seperti ini dalam menangani sebarang unsur yang bercanggah dengan syarak,” katanya.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial mendedahkan bahawa penganjuran program berkenaan, yang dikatakan berlangsung antara 27 hingga 30 September tahun lalu, turut diselitkan dengan tarian bogel serta upacara yang dilihat sebagai syirik.

Wanita itu dalam hantarannya mendakwa, perkara berkenaan berlaku pada hari terakhir penganjuran program, turut membabitkan peserta diberikan minuman yang disediakan khas yang membuatkan mereka menjadi lebih berani.

Katanya, segala bukti membabitkan program berkenaan sudah diserahkan kepada pihak berkuasa agama selain ia juga pernah disuarakan oleh pempengaruh namun dakwanya, sehingga kini tiada apa-apa tindakan diambil.