Jadi ahli Rela tanpa ‘rela’, netizen gesa pihak berkuasa siasat jika data disalah guna pihak tidak bertanggungjawab
![Jadi ahli Rela tanpa ‘rela’, netizen gesa pihak berkuasa siasat jika data disalah guna pihak tidak bertanggungjawab Jadi ahli Rela tanpa ‘rela’, netizen gesa pihak berkuasa siasat jika data disalah guna pihak tidak bertanggungjawab](https://beritaperak.com/wp-content/uploads/2021/06/61479553814_RELA.jpg)
JUMLAH keahlian Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang melebihi tiga juta ahli seluruh negara kini diragui apabila kecoh di media sosial sejak semalam ramai yang mengadu didaftar sebagai ahli tanpa ‘rela’.
Ramai pengguna Facebook dan Twitter yang menzahirkan rasa terkejut apabila nama mereka tersenarai sebagai anggota berdaftar pasukan sukarelawan itu melalui semakan secara atas talian di laman sesawang Rela.
Semakan Malaysiapost di laman Facebook Rela Malaysia, mendapati pelbagai komen pengguna yang mempersoalkan tentang perkara itu dan menggesa pihak berkuasa menyiasatnya kerana khuatir data peribadi mereka disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.
Ramai turut berkongsi tangkap layar hasil semakan keahlian yang kebanyakannya menunjukkan sudah menjadi ahli sejak 2010 dan 2011 dengan mempunyai nombor ahli serta kod platun di seluruh Malaysia.
Namun selepas isu berkenaan tular di media sosial, semakan semula di pautan keahlian laman sesawang Rela ramai mendapati rekod pendaftaran mereka sudah tiada lagi.
![](https://malaysiapost.com.my/wp-content/uploads/2021/06/photo_2021-06-15_10-02-13.jpg)
Setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Rela atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung perkara itu.
Difahamkan, Ketua Pengarah Rela, Yahya Sulaiman dilaporkan sudah maklum berhubung perkara itu dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam waktu terdekat.
Rela telah diumumkan sebagai Jabatan Sukarelawan Malaysia pada 2013 selepas ditubuhkan secara rasmi sejak 1972 dan diletakkan dibawah KDN.
Sehingga kini jumlah keahlian pasukan berkenaan berdasarkan statistik keahlian di laman sesawangnya adalah seramai 3,071,086 ahli membabitkan kira-kira 1.8 juta Relawan dan 1.2 juta Relawati.
Selangor mencatatkan keahlian tertinggi dengan 474,925 ahli, diikuti Sarawak 356,648 ahli.
Antara kelebihan menjadi anggota Rela adalah caj rawatan dan kemudahan wad percuma percuma; perlindungan insurans; latihan percuma; elaun latihan dan bertugas RM6 sejam; pakaian serangam percuma dan keahlian percuma.
Sumber: Malaysiapost