Mentua diletak sebagai penama, wanita tak merasa duit KWSP RM400k arwah suami

Mentua diletak sebagai penama, wanita tak merasa duit KWSP RM400k arwah suami

 

Menguruskan isu penamaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika pemilik akaun masih hidup bukanlah bermaksud kita mendoakan perkara tidak baik berlaku.

Ia merupakan satu bentuk perlindungan bijak terhadap harta untuk keluarga yang ditinggalkan.

Andai kata suami atau isteri pergi buat selamanya, sekurang-kurangnya tiada isu berbangkit akan terjadi di masa hadapan.

Walau bagaimanapun, nasib malang yang menimpa seorang wanita ini wajar dijadikan pengajaran buat semua.

Melalui sebuah pendedahan di TikTok, wanita berkenaan menjadi ibu tunggal sekelip mata setelah kehilangan suami tercinta.

Allahyarham dikatakan meninggalkan wang KWSP sebanyak RM400,000 yang pastinya boleh menampung kehidupan isteri dan anak-anaknya untuk beberapa tempoh tertentu.

Malang sekali, hasrat isteri untuk mengeluarkan wang itu tidak kesampaian. Ketika dia mahu melakukan tuntutan di pejabat urusan KWSP, barulah dia tahu suaminya selama ini meletakkan nama ibunya sebagai penama akaun berkenaan.

Wanita berkenaan menebalkan muka dan meminta budi bicara agar wang tersebut dibahagikan mengikuti faraid. Namun ibu mentua enggan bertemu apalagi diajak berkongsi duit tersebut.

Rupanya sejak sebelum berkahwin lagi, Allahyarham suaminya memang meletakkan ibunya sebagai penama dan ia tidak pernah diubah sama sekali.

Dia cukup buntu memikirkan nasibnya yang tak ubah seperti jatuh ditimpa tangga.