Isteri pertama tak sedih, teruja pasang pelamin untuk suami & madu
Tular sebuah video memaparkan kecekalan seorang wanita dikenali Syazwani Ali 34, memasang pelamin untuk suami dan madunya sehingga menarik perhatian ramai.
Menerusi hantaran video tular, Syazwani Ali dilihat sedang bertungkus lumus bersama rakan pasukannya menyiapkan pelamin untuk majlis persandingan suami, Amerul Azizon, 43, dan madu, Nurul Nadzirah Syamsudin, 23.
@syazwani_mirabilia Pasang pelamin orang ❎ pasang pelamin suami & adik madu✅🥰 #poligami #isteripertama #pelamin #pelaminandirumahmertua #poligamibukanjenayah #perempuanitu #pcosfighter #isteripertamauntukdihargai @Mirul Hj.Azizon @Dieya Dahlia MUA KULIM @Amir Ibrahim
Meskipun menerima banyak pujian dalam kalangan warganet, namun Syazwani Ali memohon maaf seandainya video tersebut mengundang perasaan kurang senang wanita lain di luar sana.
Jelasnya, dirinya tidak sangka video pasang pelamin suami dan madu tersebut tular sehingga meraih lebih 600 ribu tonton di platform TikTok kerana sebelum ini dia sering berkongsi video yang sama.
“Maaf ya semua. Wani post video tu sebab nak tunjuk hasil kerja Wani sahaja, macam video-video pelamin Wani sebelum ini. Bukan atas sebab lain.
“Wani tak sangka video tersebut tular. Wani minta maaf jika video tersebut melukakan hati wanita lain,” kata Syazwani Ali.
Akuinya, pada awalnya dia juga seperti wanita lain yang enggan dimadukan, namun menerima takdir itu dengan reda selepas melihat suami tidak pernah membezakannya dengan isteri kedua.
Syazwani Ali berkata, perasaan marah itu kemudiannya beransur hilang dan mula menyayangi isteri kedua suami yang sudah pun dianggap seperti adik dan ahli keluarga sendiri.
Malah, mereka berdua juga sering menghabiskan masa bersama.
“Saya buang rasa sakit dan cemburu. Saya berlapang dada menerima keputusan suami serta madu yang kini dianggap seperti ahli keluarga sendiri kerana saya fikir kita semua ada kekurangan dan kelebihan.
“Selepas mereka berkahwin saya cuba lapangkan dada untuk terima semua itu kerana saya fikir mungkin perkahwinan itu akan melengkapkan kekurangan saya lagipun suami bukan milik saya seorang dan dia juga adalah pinjaman Allah SWT saja.
“Hubungan saya dan madu semakin baik sejak November lalu, malah madu juga menghormati saya sebagai isteri pertama dan saya pula tidak mahu bergaduh kerana semua itu akan beri kesan kepada kehidupan, rezeki dan suami yang pastinya akan pening kepala,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Kongsi Syazwani Ali, dia dan suami sudah berkahwin sejak 12 tahun lalu, namun mereka masih belum dikurniakan rezeki zuriat yang menjadikan ia sebagai alasan untuk dirinya berlapang dada dengan perkahwinan kedua.
“Wani dan suami memang dah berusaha pergi berubat, pergi hospital buat pemeriksaan semua. Memang masalah dari Wani. Suami tak cakap pun dia nak kahwin baru sebab anak. Tapi Wani faham bila dia pandang muka budak-budak kecil, dia menangis.
“Wani tak tahu kalau hati orang lain macam mana. Tapi hati Wani memang sebak sangat sebab Wani tahu kekurangan Wani tak mampu bagi dia zuriat,” coret Syazwani Ali di TikTok.
Tambah Syazwani Ali, hatinya semakin tenang sepanjang lima bulan hidup berpoligami dan segala urusan dipermudahkan.
Dia juga mengucapkan terima kasih atas doa-doa yang dikirimkan oleh orang ramai dan dirinya tidak mengambil hati dengan beberapa komen negatif yang ditinggalkan netizen.