Isteri Fikry Ibrahim fail permohonan cerai selepas 4 bulan kahwin

Isteri Fikry Ibrahim fail permohonan cerai selepas 4 bulan kahwin
Selepas empat bulan mendirikan rumah tangga, isteri kepada pengacara dan pelakon, Fikry Ibrahim iaitu Siti Khalizah Alihan memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini.
Siti Khalizah selaku plaintif yang memakai jubah berona hitam hadir ke dewan bicara pada jam 9.40 pagi, manakala Fikry selaku defendan belum kelihatan di mahkamah.
Perkara itu disahkan oleh peguam syarie mewakili Siti Khalizah iaitu Wan Muhammad Afiq Mohd Razib.
“Ya, tapi saya tak nampak dia lagi,” kata peguam, Wan Muhammad Afiq ketika bertanya mengenai kehadiran Fikry.
Prosiding tuntutan dan permohonan perceraian dijadualkan berlangsung jam 9 pagi ini di hadapan hakim syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin.
Terdahulu, Fikry dan Siti Khalizah mendirikan rumah tangga di Jitra, Kedah pada 12 Februari lalu.
Majlis pernikahan berlangsung secara tertutup, namun ia tersebar apabila jurusolek berkongsi beberapa foto memperlihatkan Fikry bersama Siti Khalizah.
Fikry pernah berkongsi, dia tidak berniat merahsiakan perkahwinan kerana enggan menghebahkan perkara belum pasti.
“Bukan mahu merahsiakan perkahwinan, tapi saya percaya jika belum pasti jangan kongsi,” katanya menerusi program Melodi yang dikendalikannya bersama Ain Edruce.
Mengulas dakwaan seolah-olah terpaksa berkahwin susulan raut wajahnya kelihatan seperti tidak rela, Fikry menyangkal tanggapan berkenaan.
Fikry berkata, raut wajahnya itu mungkin disebabkan sedang berfikir mengenai tanggungjawab semakin berat yang bakal dipikulnya.
Katanya, walaupun sudah bergelar suami, namun, perlu menjaga ibunya yang semakin uzur di kampung.