Isteri dakwa Edika Yusof sudah banyak kali lafaz cerai

Isteri dakwa Edika Yusof sudah banyak kali lafaz cerai

 

Isteri dakwa Edika Yusof sudah banyak kali lafaz cerai

Isteri kepada Edika Yusof iaitu Nor Hidayah Yusri mendakwa suaminya sudah banyak kali melafazkan talak tetapi dinafikan oleh pelakon itu sendiri.

Nor Hidayah berkata, dia mengambil keputusan untuk meneruskan dengan permohonan cerai berikutan tindakan Edika itu.

“Memang saya buat permohonan cerai, tapi sebenarnya ini bukan permohonan kali pertama. Sebelum ini, saya pernah datang ke mahkamah untuk membuat pengesahan lafaz talak yang dilafazkan banyak kali.

“Tapi, Edika menafikan semuanya dan mengangkat sumpah laknat pada Januari lalu, jadi saya teruskan dengan permohonan cerai.

“Disember tahun lalu saya buat pengesahan lafaz cerai, namun Edika tak mengaku,” dakwanya.

Nor Hidayah bagaimanapun menyatakan bahawa dia tiada masalah untuk meneruskan hubungan baik dengan Edika selepas bercerai.

“Saya tiada masalah berdamai sebab saya sudah mohon dan ajak Edika selesaikan cara baik supaya orang tidak tahu. Tetapi, dia mahu panjangkan dan inilah yang berlaku,” katanya.

Jelas Nor Hidayah, apa yang berlaku sepanjang perkahwinan mereka juga diketahui oleh anak-anaknya.

“Anak-anak tahu semua yang terjadi. Minta maaf, saya tak boleh cakap lebih-lebih, terpulang pada Edika apa dia nak cakap,” katanya.

Sementara itu, anak sulung mereka, Fardeen Nasrulhaq, 21, yang hadir menemani ibunya berkata, perceraian adalah jalan terbaik buat ibu dan ayahnya.

“Selagi masih hidup saya boleh jaga dia (ibu). Tiada apa yang boleh saya cakap, tapi inilah jalan penyelesaiannya. Ibu dan ayah juga akan kurang tekanan. Saya pun sudah biasa sejak kecil, jadi untuk saya tiada beza,” katanya.

Difahamkan, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.