“Arwah ‘pergi’ depan mata saya” – Isteri Ali XPDC meninggal dunia akibat kanser payudara

“Arwah ‘pergi’ depan mata saya” – Isteri Ali XPDC meninggal dunia akibat kanser payudara
Isteri penyanyi Ali XPDC iaitu Sharifah Azuwanna Syed Joned, 54, meninggal dunia di Hospital Putrajaya, jam 6.08 petang tadi akibat kanser payudara.
Berita pemergian isterinya disahkan oleh Ali yang berada di sisi ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.
“Ya, isteri sudah meninggal dunia. Arwah meninggal di depan mata saya,” katanya kepada BH Online.
Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 57, memaklumkan jenazah arwah akan diuruskan di Masjid Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.
“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Salak Tinggi selepas waktu Isyak,” katanya.
Allahyarham Sharifah Azuwanna meninggalkan lima cahaya mata.
Pada 24 Mac lalu, Ali dimasukkan ke Hospital Cyberjaya untuk menerima rawatan paru-paru berair dan jantung lemah, manakala isterinya, Sharifah Azuwanna dirawat di Hospital Putrajaya kerana kanser payudara.
Bagaimanapun, Ali sudah dibenarkan keluar dari wad sejak Khamis lalu dan kini berehat di rumah.