IShowSpeed teruja beli jam Rolex harga RM512 di Petaling Street
Pencipta kandungan YouTube, IShowSpeed sekali lagi tular selepas lelaki itu membeli seutas jam tangan berjenama mewah, Rolex yang berharga AS$120 (RM512).
Lebih mengejutkan, aksesori tersebut dibeli di sebuah kedai di kaki lima Petaling Street, Kuala Lumpur.
Di dalam video siaran langsung, IShowSpeed melihat jam tangan itu sebelum bertanyakan kepada peniaga sama ada produk itu asli atau tidak.
Setelah peniaga itu menyatakan ia asli, IShowSpeed terus menunjukkan minat dengan mencuba jam tersebut dan bertanyakan harga kepada lelaki berkenaan.
Peniaga itu menjawab harganya adalah RM120, namun IShowSpeed menyerahkan AS$120 secara tunai sebelum diterima bulat-bulat oleh lelaki berkenaan.
“Saya baru beli jam tangan Rolex asli di Malaysia berharga AS$120 sahaja. Tak percaya saya beli jam dengan begitu mudah sekali,” katanya sambil menunjukkan ke arah kamera.
Menurut Kosmo, tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang terkejut IShowSpeed mempercayai dan membeli jam berjenama mewah itu walaupun dijual di kaki lima dengan harga yang begitu murah.