Ira Kazar tak setuju cara Syamsul Yusof, tuntut kembalikan harta selepas bercerai

Ira Kazar tak setuju cara Syamsul Yusof, tuntut kembalikan harta selepas bercerai

Pempengaruh Ira Kazar mendedahkan bekas suaminya, Syamsul Yusof membuat tuntutan terhadap beberapa harta ke atas dirinya selepas bercerai pada 5 September lalu.

Perkara itu disahkan peguam syarie Ira iaitu Mohammad Fadhil Abdul Razak yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat di sini hari ini.

“Ya, pihak sana (Syamsul) ada meminta beberapa tuntutan ke atas anak guam saya (Ira). Tetapi kami tidak bersetuju memandangkan perkara tersebut berlaku dalam tempoh perkahwinan mereka.

“Bukan tidak mahu bersetuju dengan tuntutan tersebut tetapi dari segi hukum syarak sudah dinyatakan apabila sudah diberikan tidak akan dipulangkan semula.

“Kami juga tidak setuju apabila hadiah yang diberikan itu dipulangkan semula,” katanya menurut Kosmo.

Mengulas lanjut, Mohammad Fadhil memberitahu pihaknya ada memberikan beberapa cadangan bagi menyelesaikan perkara itu.

Namun, setakat ini masih belum ada kata putus daripada kedua-dua belah pihak termasuk enggan mendedahkan secara terperinci mengenai butiran lanjut tentang tuntutan itu.

“Memandangkan tuntutan ini dibuat di luar mahkamah, pihak kami ada berbincang dengan pihak Syamsul.

“Tetapi keputusan tuntutan itu belum disahkan lagi. Bagaimanapun buat masa ini saya tidak boleh mendedahkan butiran dalam tuntutan tersebut demi menghormati kedua-dua pihak.

“Lagipun, saya yakin lambat-laun pihak sana (Syamsul) akan dedahkan kepada umum nanti,” katanya.

Sementara itu, Ira atau nama sebenarny, Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, enggan mengulas lanjut mengenai tuntutan bekas suaminya itu.

“Saya tidak mahu komen. Kita hadap (berdepan) sahaja.

“Saya takut bila cakap, orang akan salah tafsir,” katanya.

Hari ini mahkamah memerintahkan pengarah kontroversi Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, membayar kos kehadiran sebanyak RM200 kepada bekas isterinya, Ira.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Maizatul Aliza Chee Din pada prosiding yang berlangsung pada pukul 3 petang tadi.

Pada 5 September lalu, Syamsul dan Ira sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor.

Terdahulu, Syamsul dan Ira berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.