Semua institusi pendidikan yang berdaftar di bawah Pejabat Pentadbiran Agama Islam Bagan Serai dan Parit Buntar akan ditutup mulai Sabtu hingga 20 November depan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Parit Buntar.
Dalam masa sama, Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, surau dan masjid di Parit Buntar perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB seperti solat berjemaah hanya 13 orang dan menangguhkan pengajian.
Menurutnya, penutupan institusi pendidikan itu melibatkan tadika Islam, sekolah rendah dan menengah agama rakyat, maahad tahfiz, pondok pengajian Islam, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam.
“Kita nasihatkan kepada pihak pengurusan masjid dan juga sekolah supaya dapat memantau dan juga dapat mematuhi SOP dan juga garis panduan yang ditetapkan oleh pihak MKN dan juga KKM dan dari masa ke semasa.
“Insya Allah pihak KKM akan memantau dan sentiasa memberi nasihat dan juga panduan yang terkini daripada masa ke semasa,” katanya selepas majlis kesyukuran dan doa selamat sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak tahun 2020 di Masjid Negeri di sini, hari ini.
Pada Khamis, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPB
akan dilaksanakan di Mukim Parit Buntar, Perak berkuat kuasa Sabtu sehingga 20 November depan.
Menurutnya, sehingga 3 November lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan sebanyak 12 kes positif COVID-19 direkodkan di kawasan itu dan penilaian risiko menunjukkan trend peningkatan terus berlaku.
PKPB itu akan melibatkan seramai 45,359 orang penduduk dengan jumlah 7,847 unit rumah dan pelaksanaannya juga bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di mukim tersebut.
Ekoran dari itu, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan mengumumkan semua 91 institusi pendidikan di seluruh Kerian ditutup juga mulai Sabtu.
Mohd Akmal meminta supaya masyarakat memahami situasi yang dihadapi selain memberi kerjasama dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19 kali ini.