“Ingatkan dapatlah tunjuk pada rakan, tapi..” – Lelaki gaji RM4,000 menyesal beli kereta Honda Civic

“Ingatkan dapatlah tunjuk pada rakan, tapi..” – Lelaki gaji RM4,000 menyesal beli kereta Honda Civic

 

Keputusan salah dalam membeli kereta idaman diingini menyebabkan seorang individu terpaksa membuat penstrukturan semula kewangannya.

Pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Mohamad, 26, berkata dia membeli kereta Honda Civic berharga lebih RM100,000 semata-mata mahu mendapatkan perhatian rakan-rakannya.

“Saya ingat dengan kita beli kereta Honda Civic ini, dapatlah kita tunjuk kepada rakan lain.

“Tapi sebaliknya berlaku. Baru saya sedar selepas saya beli kereta, ia menyebabkan saya tidak mampu untuk menanggung hutang bulanan lain,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, faktor utama dia tidak mampu untuk menanggung hutang sedia ada adalah disebabkan gaji bulanan yang diperolehinya hanya kira-kira RM4,000.

Dia yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, berkata pendapatannya tidak mampu menampung bil-bil lain selain bayaran kereta yang disifatkannya membebankan.

“Gaji saya sekitar RM4,000 sahaja. Jadi, saya ingatkan dengan membeli kereta berharga lebih RM100,000 itu tak mengapa. Tapi disebabkan saya tinggal di Kuala Lumpur, gaji itu sebenarnya tak setimpal dengan kereta yang saya beli.

“Ini kerana kos-kos lain setiap sebulan yang saya perlu bayar seperti sewa rumah, bayaran tempat letak kenderaan, insurans diri, tol dan makan minum.

“Selain itu, saya juga kena bayar insurans kereta, cukai jalan dan servis kereta yang mahal. Duit gaji sebenarnya tak cukup,” katanya.

Menurutnya, keadaan diburukkan lagi apabila dia turut menggunakan kad kredit untuk menanggung bayaran hutang bulanan sedia ada.

“Ada kalanya saya tak mampu nak bayar hutang itu. Bila saya tak mampu bayar, saya guna kad kredit pula untuk tampung belanja bulanan.

“Saya rasa inilah keputusan salah menyebabkan saya terpaksa membuat penstrukturan semula hutang,” katanya.

Kisah Mohamad adalah satu peringatan yang berharga tentang pentingnya membuat keputusan kewangan yang bijak dan bertanggungjawab.

Ia juga menunjukkan betapa pentingnya untuk memahami beban kewangan yang datang dengan memiliki sebuah kereta mewah, terutama dengan pendapatan yang terhad.

Dalam dunia yang semakin mencabar ini, pengurusan kewangan yang bijak adalah kunci kepada kestabilan kewangan dan kesejahteraan peribadi.