Peniaga dedah realiti pahit industri durian

Peniaga dedah realiti pahit industri durian

 

Peniaga dedah realiti pahit industri durian

Dahulunya bisnes menjual durian tempatan dikira sebagai lubuk emas kerana permintaan yang tinggi serta harga siling raja buah yang stabil di dalam pasaran.

Namun, kini sudah tidak seindah seperti dahulu lagi apabila seorang peniaga tempatan mendedahkan realitinya ia sangat memenatkan apatah lagi bila aspek kewangan yang turut terjejas lapor laman Weirdkaya.

Meluahkan kekecewaannya di Facebook, peniaga durian itu mendedahkan bahawa dia bukan sahaja kehilangan waktu tidur, malah turut menanggung kerugian melebihi RM5,000 yang tidak dapat ditampung semula, walaupun telah bekerja berjam-jam lamanya demi memastikan perniagaannya terus bertahan.

“Hari ini saya jual durian, tapi masih tak dapat pulangan semula lebih RM5,000 kos yang dah dikeluarkan. Saya terlalu penat. Kerugian ini memang besar. Tidur pun dah tak lena,” tulisnya.

Dia menjelaskan bahawa pasaran durian kini ibarat perlumbaan ke dasar, apabila para peniaga terpaksa menjatuhkan harga semata-mata untuk kekal bersaing.

Walaupun harga kosnya mencecah RM25 sekilogram, dia sering terpaksa menjual pada harga yang sama atau lebih rendah semata-mata untuk menghabiskan stok.

Jika durian rosak, dia terpaksa menanggung kerugian sendiri kerana pihak petani dan pembekal tidak memberi sebarang pampasan.

“Ada pelanggan yang minta ganti rugi kalau durian terlalu lembik. Kalau terlalu kering pun, mereka tetap komplen. Kami tak mampu untuk buat pelanggan marah, tapi dalam masa yang sama, kami yang tanggung semua kerugian.

“Harga pun terpaksa diturunkan semata-mata untuk teruskan hidup. Sejujurnya, segala kesusahan ni kami telan saja,” ujarnya lagi.

Untuk memberi gambaran yang lebih jelas, ia menjelaskan secara terperinci struktur kos sebenar bagi penjualan durian gred A, dengan menggunakan variasi 101A sebagai contoh.

Pada hari dia merakam video tersebut, harga lelong durian mencecah RM28, namun dia terpaksa menjualnya pada harga RM25 dan kadangkala serendah RM20 semata-mata untuk memastikan ada jualan.

Dia menegaskan bahawa situasi ini bukan kerana dia “jual murah”, tetapi itulah realiti pasaran yang sangat mencabar sekarang.

Pecahan kos sebenar jualan durian:-

Harga belian durian gred A: RM20/kg
Kehilangan berat akibat penyusutan air: Sekurang-kurangnya 10%, bersamaan RM2/kg
Kos upah pekerja: Sekitar RM3/kg
Kos pengangkutan dan minyak: Lebih kurang RM1/kg
Jumlah kos sebenar: RM25/kg

Sumber Gambar: Weirdkaya

Ini bermakna walaupun sebiji durian berkualiti rendah atau durian yang tidak terjual pada hari yang sama boleh menyebabkan kerugian segera.

Memandangkan durian mudah rosak, stok yang tidak terjual biasanya terpaksa dibuang keesokan harinya kerana pelanggan hanya mahukan buah yang baru gugur.

“Satu-satunya cara nak untung ialah dengan menipu — tapi kami tak akan buat begitu.”

Dia menegaskan bahawa ada peniaga yang mungkin menjual durian gred A sebagai durian gred rendah untuk dapat keuntungan lebih, tetapi pasukannya hanya menjual durian gred A yang tulen dan jujur serta enggan mengambil jalan pintas.

“Kami bukan berniat untuk menipu sesiapa. Tapi apabila harga pasaran hanya setanding dengan jumlah kos kami, kami sebenarnya sedang mengalami kerugian. Orang luar industri tidak faham tekanan ini — hanya peniaga lain saja yang tahu bahawa pasaran hari ini jauh berbeza daripada 10 tahun lalu.”

Dia menutup penulisannya dengan kenyataan yang menyedihkan — “Sekarang kami hanya berusaha untuk pulang modal. Impian untuk meraih keuntungan besar rasa seperti mustahil untuk dicapai.”

Berdasarkan laporan sebelum ini, krisis durian tempatan menjadi serius selepas mempunyai lebihan bekalan berbanding permintaan semasa ditambah pula dengan persaingan sengit di antara penjual terutamanya di kawasan panas seperti Balik Pulau, Raub atau durian musang king di Pahang yang menurunkan harga jualannya.