Tidak sampai 24 jam, pemain badminton terkejut lihat keadaan Medal Indonesia Master 2025
Tidak sampai 24 jam, pemain badminton terkejut lihat keadaan Medal Indonesia Master 2025
Tirai saingan Indonesia Masters 2025 ditutup malam tadi dengan kejayaan pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menewaskan wakil rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Gandingan Malaysia itu membuatkan ribuan penyokong Indonesia di Istora Senayan hampa dengan aksi agresif ditampilkan sepanjang perlawanan untuk membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $37,525.
Selain itu Indonesia turut kecewa apabila Jonatan Christie tewas kepada pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn dalam acara perseorangan lelaki yang berlanjutan hingga ke ‘rubber set’.
Manakala, Ratchanok Intanon pula beraksi cemerlang untuk memastikan sektor perseorangan wanita menjadi milik Thailand hasil kemenangan dilakarkan ke atas Sim Yu Jin dari Korea Selatan.
Dengan status kejohanan Super 500 pastinya kita menjangkakan para pemain diberikan medal yang berkualiti seiring dengan kerja keras mereka sebelum dan ketika pertandingan berlangsung.
Namun, nasib berbeza diterima Jonatan Christie apabila beliau telah memuatnaik foto yang menunjukkan keadaan medal naib juara tidak sampai 24 jam menerima medal tersebut.
Dapat disaksikan keadaan medal tersebut jelas tidak wajar diterima oleh mana-mana pemain. Tambahan pula nama penaja utama, Daihatsu turut ‘hilang’ ekoran kualiti yang amat teruk itu.
Keadaan yang nyata memberikan persepsi buruk peminat badminton Indonesia khususnya terhadap penganjur kejohanan tersebut.
Menurut satu hantaran di laman Facebook Amazing Badminton Community, rata-rata majoriti peminat badminton Indonesia turut mengkritik pihak penganjur berhubung perkara yang boleh dianggap memalukan itu.