Imran Bard dikecam, didakwa normalisasi budaya songsang
![Imran Bard dikecam, didakwa normalisasi budaya songsang Imran Bard dikecam, didakwa normalisasi budaya songsang](https://beritaperak.com/wp-content/uploads/2025/02/bp-imran-bard-e1738996264316.jpg)
Imran Bard dikecam, didakwa normalisasi budaya songsang
Pempengaruh media sosial, Imran Bard dikecam setelah memuat naik sebuah video di platform Instagram miliknya, baru-baru ini.
Mana tidaknya, video berdurasi 30 saat itu dilihat Imran melakukan beberapa babak ‘mesra’ bersama lelaki lain yang memanggilnya sayang.
Ia dilihat seakan-akan Imran atau nama sebenarnya Muhammad Al Imran Badaruddin, 24, mempromosi dan menormalisasikan budaya songsang kelompok ‘gay’.
Dalam video itu, Imran sedang menghidangkan juadah Char Kuey Tiaw untuk seorang lelaki yang telah memanggilnya sayang.
Dilihat seperti tidak kena dengan tekak dan selera, lelaki tersebut kemudiannya memaklumkan mahu mengajar Imran untuk memasak juadah tersebut dengan cara yang betul.
“Sayang, biar saya ajar awak memasak,” katanya dalam video berkenaan.
Namun, apa yang membuatkan ramai terkejut adalah pemaparan beberapa adegan seperti pempengaruh itu dipeluk dari belakang serta adegan lelaki tersebut yang seperti mengetap bibir sewaktu menarik Imran rapat dengannya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menasihatinya untuk tidak menormalisasikan budaya kerana ditegah hukum syarak.
Hasil pemerhatian, video berkenaan sudah diturunkan daripada platform Instagram Imran Bard, namun telah tersebar ke media sosial lain.