“Isteri tolak ajakan bersama” – Imam surau bercerai selepas enam bulan nikah

“Isteri tolak ajakan bersama” – Imam surau bercerai selepas enam bulan nikah
Ramai yang mengimpikan rumah tangga bahagia selepas bernikah, tapi tiada siapa dapat menjamin sampai bila perkahwinan yang dibina akan kekal.
Bagi seorang imam di sebuah surau dari Kuala Lumpur, perkahwinannya hanya bertahan selama enam bulan tanpa dia sempat menjalani kehidupan sebagai suami isteri yang sebenar.
Lelaki berusia 34 tahun itu memilih untuk akur pada takdir dan menurut permintaan si isteri yang berulang kali meminta supaya dirinya dilepaskan.
“Bekas isteri saya ada sejarah sakit berkaitan psikiatri dan selepas beberapa bulan bernikah, dia sendiri berkali-kali minta dilepaskan.
“Sedangkan masa merisik dan bertunang, tanpa paksaan mana-mana pihak… isteri bersetuju dan bersedia untuk mendirikan rumah tangga,” katanya yang berpisah pada Oktober tahun lalu.
Mengakui dirinya kini sedang menjalani semula hidup bujang, lelaki ini tidak menolak jika hatinya terbuka untuk bernikah sekali lagi, sambil berharap dipertemukan dengan wanita yang mengamalkan al-Quran dalam kehidupan.
Dalam hantaran tersebut, lelaki itu yang juga seorang tabligh turut menceritakan mengenai punca penceraiannya.
“Hakim memutuskan perpisahan ini di bawah talak Bain Sughra kerana sepanjang perkahwinan, kami tidak pernah mengadakan hubungan badan dan tidur berasingan.
“Isteri menolak ajakan ‘bersama’. Kaedah rawatan tradisional, Islamik dan moden telah diusahakan sepanjang berkahwin. Perbicaraan hanya berlangsung lebih kurang 10 minit. Hari yang sama kami mendaftar penceraian di pejabat agama.
“Selepas enam bulan membujang, saya serahkan kepada calon isteri di luar sana untuk meletakkan saya di bawah status bujang, duda atau pernah berkahwin,” katanya.
Bagaimanapun ustaz ini berkata, keluarganya juga kini lebih berhati-hati dan meletakkan beberapa syarat asas buat calon isteri akan datang selepas dia melalui episod perit.
Dalam hantaran sebelum ini, lelaki itu turut menyatakan hasratnya untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita yang boleh menerima jalan hidupnya yang sederhana.
“Orang tua saya sudah meletakkan syarat sihat fizikal dan mental untuk berkahwin. Tambahan daripada saya pula, (calon) tidak jauh dari Gombak. Satu atau dua jam perjalanan.
“Syarat tambahan ini dibincangkan (bersama keluarga) dalam sesi bersalaman pagi 1 Syawal.
“Saya imam surau. Duduk di rumah yang disediakan oleh pihak surau. Jalani kehidupan sebagai orang biasa je. Anak Melayu tipikal, dari keluarga B40,” katanya.