Azhar Sulaiman dedah imam muda antara calon mahu lamar Kasih Iris Leona

Azhar Sulaiman dedah imam muda antara calon mahu lamar Kasih Iris Leona

 

Azhar Sulaiman dedah imam muda antara calon mahu lamar Kasih Iris Leona

Pelakon Azhar Sulaiman, 54, tidak menetapkan syarat tertentu dalam soal jodoh Kasih Iris Leona, 23, sebaliknya, terbuka dengan pilihan dibuat anak gadisnya itu.

Azhar berkata, Leona berhak memilih sesiapa sahaja yang dirasakan mampu membawa kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga pada masa akan datang.

“Kalau ditakdirkan jadi isteri kedua orang pun, itu adalah takdir. Ajal, rezeki dan jodoh ini semua di tangan Tuhan.

“Jika kebahagiaannya sebagai madu, tidak mengapalah. Jadi, saya terbuka kepada apa sahaja. Hal perkahwinan ini saya fikir biarlah dia sendiri yang buat keputusan.

“Kalau contoh kita sebagai ibu bapa ini suka calon A, tetapi, sebenarnya itu tidak bagus untuk dia dan mungkin tak berjaya untuk bertahan dalam tempoh lama. Maka, biar dia pilih betul-betul,” katanya ditemui selepas tayangan episod pertama dan sidang media drama terbaharu lakonannya, Hilang Kasyorga di sini, kelmarin.

Ditanya jika ada mana-mana pihak sudah datang bertemu empat mata dengannya untuk melamar Leona, Azhar mengakui ada beberapa individu termasuk berstatus imam menyatakan hasrat mereka.

Jelas pelakon filem Sayang Salman itu, dia tidak keberatan dengan sesiapa sahaja yang menjadi pilihan Leona, namun, perlulah sesuai dengan keluarga.

“Ramai juga yang datang jumpa saya untuk menjadi suami Leona terutamanya beberapa orang imam di masjid seperti imam muda.

“Ramai jugalah yang bertanya bagi pihak anak-anak atau kawan-kawan. Jadi, saya kalau boleh, biarlah anak-anak berkahwin dengan orang yang tinggal berdekatan di Kuala Lumpur.

“Saya terbuka kepada sesiapa. Saya berharap sesiapa pun yang dia ambil akan menjadi pilihan terbaik dan menjadi sebahagian daripada keluarga kami,” katanya.

Azhar mengulas pengakuan dibuat Leona sebelum ini mengenai urusan jodoh apabila personaliti media sosial itu mendedahkan tidak tertarik dengan lelaki muda.

Leona dilapor berkata, dia lebih tertarik dengan lelaki berusia dan berimej botak untuk menjadi pasangan.

Dalam perkembangan lain, Azhar membintangi drama Hilang Kasyorga arahan Feroz Kader yang bakal ditayangkan menerusi saluran DEGUP, Unifi TV pada 23 Jun ini.

Drama genre kekeluargaan dan ‘thriller’ itu menampilkan pelakon lama dan baharu, iaitu antaranya, Kamal Adli, Nabila Huda, Ellie Suriaty, Kod Rashid, Adra Mikayla, Luqman Hafiz, Arfie Shah dan Hariz Hamdan.