Ibu tunggal bawa segenggam duit RM1 tunggu depan kedai laptop seawal 6.30 pagi demi anak masuk IPT

Ibu tunggal bawa segenggam duit RM1 tunggu depan kedai laptop seawal 6.30 pagi demi anak masuk IPT

 

Kedai menjual komputer riba tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggan setiap hari memandangkan peranti itu kini sudah menjadi satu keperluan.

Namun seorang peniaga tidak menyangka kedai komputernya didatangi seorang pelanggan, pada awal pagi.

Kemunculan wanita itu di kedainya di Jalan Imbi, Kuala Lumpur mencetuskan tanda tanya.

“Saya ada di kedai, biasanya hari minggu selepas subuh sampai tengah hari. Kemudian, pekerja lain akan sambung.

“Saya sampai 6.30 pagi. Nampak ada satu kereta di tepi jalan berhampiran pintu masuk kedai. Awal betul datang Kuala Lumpur ni. Memang lengang saja keadaan sekitar Jalan Imbi.

“Selesai buka kedai, saya mulakan kerja. Tiba-tiba datang seorang wanita dan anak perempuannya, nak cari laptopPuan yang kereta parking tepi tu ya?” kata Muhammad Abu Hurairah Roslan menerusi satu hantaran di Facebook.

Meneruskan cerita, Abu Hurairah berkata, wanita itu memaklumkan dia datang dari Sarawak dan berada di Kuala Lumpur kerana mahu mendaftar masuk anaknya ke universiti.

Katanya, kat sini saya boleh dapat laptop murah ya? Baru sampai tengah malam tadi. Tumpang rumah kawan,” ujar Abu Hurairah mengimbas kembali perbualan bersama wanita itu, sambil menambah dua beranak itu turut dihantar ke kedai oleh rakan tersebut.

Namun, wanita itu bersama anaknya terdiam apabila ditanyakan tentang bajet sebelum membeli komputer riba sebelum membuat pengakuan.

Maaf encik, bukan nak minta simpati. Saya ada bawa sikit hasil jualan saya. Ada duit sikit ni. Kalau nak saya letak IC (kad pengenalan) pun boleh.

Asalkan anak saya dapat laptop. Saya nak dia teruskan pelajaran,” jelas wanita itu membuat rayuan di hadapan Abu Hurairah.

Menurut Abu Hurairah lagi, wanita yang merupakan ibu tunggal itu menunjukkan segenggam wang seringgit serta beberapa produk kesihatan yang dijadikan sebagai ganti bayaran.

“Dia keluarkan surat tawaran universiti. Dia datang ni bawa baju sehelai dua. Anak yang kecil ditinggalkan pada keluarga di sana. Nak WhatsApp saya pun hanya ada telefon Nokia.

“Saya tak tahu nak balas apa. Sebab sejauh dan sekuat ini dia datang demi untuk masa depan anak-anaknya,” katanya.

Tanpa berfikir panjang, Abu Hurairah kemudian mengambil satu komputer riba di kedainya dan meletakkannya di hadapan ibu dan anaknya itu.

“Nah, ini laptop daripada sumbangan mereka yang membantu. Ambil saja, gunalah sampai habis belajar. Kalau ada masalah, rosak, datang saja kedai kami ni. Saya atau pekerja ada akan bantu. Okay?

Betullah kawan saya kata. Datang je dan akan dibantu ya? InsyaAllah puan. Semampu saya,” kata Abu Hurairah.

Dalam pada itu menurut mStar, usahawan berkenaan turut memuat naik antara mesej yang dihantar ibu tunggal kepadanya bagi mendapatkan komputer riba pada harga murah.

“Inilah WhatsApp dan PM yang saya terima. Saya dah tanya pembekal, ada tak laptop yang baik tapi murah. Demi untuk anak-anak bangsa yang bagus dan rajin belajar ni nak guna.

“Sungguh, kerana mereka ini yang tinggal adalah harapan dan doa untuk anak-anak mereka berjaya menjadi insan yang berguna.

“Andai kalian mahu membantu, di sini ya. Semuanya untuk pelajar-pelajar ini. Tiga ibu tunggal, untuk anak-anak mereka. Moga pahala untuk kalian mengalir sampai sana, Amin,” katanya lagi.