23 premis termasuk 21 rumah musnah dalam kebakaran di Hutan Melintang

23 premis termasuk 21 rumah musnah dalam kebakaran di Hutan Melintang
Sebanyak 21 kediaman dan masing-masing sebuah rumah ibadat bukan Islam serta kedai makan musnah dalam kebakaran di Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang di sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.52 pagi.
Setiba di lokasi pada jam 5.07 pagi, katanya, pasukan mendapati api sedang marak menjilat sekurang-kurang tujuh kediaman sebelum kebakaran terus merebak dengan pantas.
Beliau berkata, lokasi kejadian adalah kawasan berkepadatan tinggi dengan premis dibina rapat antara satu sama lain, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu, setakat ini.
“Api merebak dengan pantas kerana keadaan rumah yang berhampiran dan tekanan air dari pili bomba agak rendah.
“Terdapat hampir 150 premis di lokasi berkenaan tetapi jumlah yang terbakar ialah 23 membabitkan 21 rumah dan masing-masing sebuah kedai makan serta rumah ibadat,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Sabarodzi berkata, anggota juga berdepan risiko renjatan elektrik kerana bekalan elektrik masih ada ketika operasi pemadaman dijalankan.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.30 pagi dalam operasi membabitkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, BBP Teluk Intan serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Tiang.
Setakat jam 10.38 pagi tadi, beliau berkata, peratusan kemusnahan kebakaran masih dalam penilaian dan operasi pemadaman terus dijalankan.