Bomba selamatkan wanita larikan diri dalam hutan di Manjoi

Bomba selamatkan wanita larikan diri dalam hutan di Manjoi
Seorang wanita ditemui selamat selepas dilaporkan melarikan diri dalam hutan berhampiran rumahnya di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 3, Manjoi di sini pada tengah malam Khamis.
Mangsa berusia 24 tahun dijumpai anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya yang membuat pencarian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.57 malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, jentera pertama tiba di lokasi yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai pada jam 12.12 tengah malam dan operasi pencarian dimulakan serta-merta.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi, pihaknya mendapati ahli keluarga mangsa sedang berusaha mencari di sekitar kawasan rumah serta menghubunginya melalui telefon.
“Usaha itu berjaya apabila mangsa menjawab panggilan dan memaklumkan bahawa dia berada berhampiran papan tanda Sungai Kati.
“Mangsa juga menyatakan bahawa dia dalam keadaan ketakutan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, ketua operasi kemudiannya melaksanakan penilaian awal dan menggunakan konsep operasi SAVER dalam misi pencarian bersama anggota lain.
Katanya, dengan bantuan maklumat lokasi terakhir, mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tanpa sebarang kecederaan fizikal.
“Wanita itu kemudiannya dibawa pulang ke rumah menaiki jentera EMRS dan diserahkan kepada keluarganya bagi tindakan lanjut,” katanya.
Operasi pencarian tersebut melibatkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya dan tamat sepenuhnya pada jam 1.24 pagi.