Honda Wave hilang 18 tahun lalu di Kota Tinggi, dijumpai di Segamat
Sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Sidili, Kota Tinggi, 18 tahun lalu ditemui di Segamat, kelmarin.
Motosikal Honda Wave 100 itu ditemui dalam operasi rondaan oleh anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata seorang lelaki warga India turut ditahan kelmarin, disyaki terbabit dalam kes kecurian motosikal berkenaan.
“Suspek yang berusia 38 tahun ditahan sekitar jam 2 petang kelmarin oleh pasukan rondaan polis sekitar Balai Badang. Kes ini dipercayai dilakukan penjenayah secara bersendirian, tidak membabitkan sindiket,” katanya lapor Berita Harian.
Sehubungan itu, Ahmad Zamry berkata, pihaknya bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut bagaimana motosikal berkenaan boleh berada di sini.
Antara sudut siasatan, katanya, termasuk kemungkinan nombor pendaftaran dan nombor casis motosikal yang dilaporkan hilang pada 2006 itu diklon.
“Biasanya motosikal yang hilang kerana dicuri selalunya tidak dipasang kunci tambahan atau kunci tertinggal di motosikal,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan diserahkan kepada IPD Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.