Honda Malaysia panggil semula 87,490 unit kenderaan

Honda Malaysia panggil semula 87,490 unit kenderaan

 

Honda Malaysia panggil semula 87,490 unit kenderaan

Honda Malaysia memanggil semula 87,490 unit kenderaan keluarannya bagi menjalani penggantian pam bahan api sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pengguna.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu menjelaskan pemanggilan semula itu membabitkan dua isu berbeza melibatkan pam bahan api biasa dan pam bahan api tekanan tinggi, namun menegaskan model semasa yang sedang dikeluarkan dan dijual tidak terjejas.

Bagi isu pertama, sebanyak 84,073 unit membabitkan model Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V, CR-V dan Odyssey yang dikeluarkan antara 2013 hingga 2020 dipanggil semula bagi menggantikan pam bahan api jenis impeller.

“Hasil pemeriksaan mendapati impeller pada pam bahan api berisiko mengembang apabila terendam lama dalam bahan api, sekali gus boleh menyebabkan enjin gagal dihidupkan atau mati secara tiba-tiba semasa memandu,” kata Honda Malaysia.

Sementara itu, sebanyak 3,417 unit model Civic dan CR-V keluaran tahun 2023 hingga 2024 turut dipanggil semula bagi menangani isu retakan pada pam bahan api tekanan tinggi.

Pam tersebut berpotensi mengalami keretakan akibat penggunaan berpanjangan dan tekanan berlebihan, yang boleh menyebabkan kebocoran bahan api atau menghasilkan bau petrol ketika memandu atau semasa enjin melahu.

Honda Malaysia berkata penggantian pam bahan api yang terlibat akan dilakukan secara percuma, dan semua kos berkaitan aktiviti penggantian itu akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat.

“Pelanggan yang terlibat akan menerima surat pemakluman yang mengandungi maklumat lanjut mengenai pemanggilan semula ini. Mereka juga boleh menyemak status kenderaan masing-masing melalui aplikasi HondaTouch atau laman web rasmi Honda Malaysia,” kata kenyataan itu.

Syarikat itu turut memaklumkan bahawa stok alat ganti akan dibekalkan secara berperingkat dan pelanggan diminta untuk menghubungi pengedar sah Honda berdekatan bagi membuat janji temu sebaik menerima pemakluman.

Menurut Honda Malaysia, walaupun tiada insiden kemalangan atau kecederaan dilaporkan di Malaysia setakat ini, tindakan pemanggilan semula dilakukan sebagai langkah pencegahan demi memastikan keselamatan pengguna sentiasa menjadi keutamaan.

Menariknya, syarikat itu juga memanjangkan pemanggilan semula ini kepada kenderaan yang telah melepasi tempoh jaminan sebagai tanda komitmen terhadap tanggungjawab pengguna.

“Honda Malaysia akan terus mengambil langkah proaktif dan mengamalkan ketelusan serta kawalan kualiti ketat bagi memastikan keselamatan semua pelanggan kami terjamin,” katanya.