Wanita tak puas hati isteri arwah adik dapat hibah RM300,000, mahu duit dikongsi bersama

Wanita tak puas hati isteri arwah adik dapat hibah RM300,000, mahu duit dikongsi bersama

 

Wanita tak puas hati isteri arwah adik dapat hibah RM300,000, mahu duit dikongsi bersama

Baru-baru ini tular satu perkongsian mengenai rungutan seorang wanita yang merasa tidak puas hati apabila isteri kepada arwah adiknya menerima wang hibah berjumlah RM300,000 selepas lelaki itu meninggal dunia.

Menurut wanita terbabit, wang sebanyak RM300,000 itu tidak sepatutnya ‘dimakan’ seorang diri oleh adik iparnya sebaliknya dikongsi bersama keluarga suami ekoran ibu dan bapanya masih lagi hidup.

Difahamkan, adik kepada wanita itu hanya menamakan isterinya sebagai penerima manfaat daripada pelan hibah yang diambilnya melalui sebuah syarikat insurans sebelum meninggal dunia.

Wanita yang merasakan keluarganya mempunyai hak ke atas hibah diterima adik iparnya itu kemudian bertindak menghubungi kenalannya iaitu seorang ejen insurans untuk bertanyakan kaedah menuntut wang tersebut.

Berikut adalah antara isi perbualan wanita itu bersama kenalannya menerusi aplikasi Whatsapp yang didedahkan oleh ejen insurans terbabit di akaun Facebook  miliknya sebagai satu bentuk pengajaran.

“Arwah adik meninggal dunia empat tahun lalu. Selepas itu, bekas adik ipar dapat pampasan dari syarikat insurans. Dalam RM300,000 lebih juga dia dapat katanya. Tetapi itulah, duduk makan seorang dia.

“Kami sekeluarga belah belah suami ini, dia buat tak tahu sahaja. Kalau bahagi ikut faraid berapa sahaja hak untuk isteri. Kasihanlah sedikit dekat kami, keluarga suami dia sendiri ini. Satu sen pun tak diberikan.
“Geram pula apabila difikir balik. Dengar peguam cakap, pampasan itu duit hibah. Boleh faraid sahaja kan? Saya nak panduan macam mana nak dapatkan juga duit hibah itu dekat kami sekeluarga,” kata wanita itu.

Wanita yang tidak didedahkan identitinya itu menyangka bahawa semua wang milik adiknya adalah harta pusaka yang perlu dibahagikan sama rata dengan waris si mati menggunakan kaedah faraid.

Bukan itu sahaja, wanita berkenaan juga sudah berniat mahu membawa perkara tersebut ke muka pengadilan dengan menuntut sebahagian dari wang hibah walaupun adik iparnya memiliki anak iaitu anak saudaranya sendiri.

“Arwah adik dengan isterinya ada seorang anak lelaki dan perempuan. Bukan apa, duit itu sekurangnya berikanlah sedikit kepada keluarga belah suami. Dapat duit banyak nanti buta mata. Menonong cari suami, kahwin lain pula.
“Sebab sudah jadi janda kaya. Itu yang kami berialah nak juga. Nak selamatkan anak itu sahaja. Lagi pula bekas adik ipar sudah bekerja, gaji juga besar dalam RM3,000 lebih setiap bulan. Jadi dia boleh hidup sendiri,” kongsinya.

Pendapat wanita itu bagaimanapun disangkal kenalannya di mana ejen insurans berkenaan menjelaskan bahawa duit hibah tidak termasuk dalam harta pusaka yang boleh dituntut oleh waris di mati selain daripada penama.

Ejen itu juga memaklumkan bahawa niat wanita terbabit untuk membuat tuntutan di mahkamah mungkin tidak akan berjaya memandangkan pelan hibah sememangnya dilindungi di bawah AKTA IFSA 2013.

“Arwah adik sudah lebih empat tahun meninggal dunia maknanya pampasan sudah lama diterima. Isterinya juga belum berkahwin maknanya dia masih setia. Sepatutnya, kebajikan adik ipar dijaga oleh ayah dan adik-beradik arwah suami.

“Keluarga suami juga perlu berlapang dada untuk reda. Fikirkan keadaan isteri arwah yang menjadi ibu dan ayah kepada anak-anaknya. Entah-entah pelan hibah itu juga dia yang ambil (bayarkan) untuk suami sebab kerja berisiko.” Jelas ejen itu.

Ejen itu berharap perkongsiannya dapat dijadikan sebagai pengajaran dan sumber pengetahuan baharu buat orang ramai terutamanya untuk mereka yang menyangka hibah adalah sebahagian dari harta pusaka.