Hentian Royal Belum, Gerik dinaiki air selepas hujan berterusan
Kawasan Hentian Royal Belum, di Gerik dinaiki air akibat limpahan dari Tasik Banding yang terletak bersebelahan selepas hujan berterusan.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata tinjauan mendapati berlaku kenaikan air sehingga paras tayar beberapa kenderaan milik pengunjung yang diletakkan di kawasan parkir di hentian berkenaan sejak kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.
“Bagaimanapun kenderaan tidak tenggelam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Pemilik kenderaan-kenderaan berkenaan tiada di tempat kejadian dan dipercayai berada di Rumah Bot Tasik Banding itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Beliau berkata pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang memantau dan mengawal pelepasan air dari Tasik Banding ke Sungai Perak melalui alur limpah bagi mengelakkan berlaku kejadian banjir.
Katanya, limpahan dan paras air di kawasan itu bergantung kepada keadaan cuaca namun tidak menjejaskan orang ramai setakat ini.
Gambar menunjukkan beberapa kenderaan yang diparkir di kawasan hentian yang dinaiki air hingga paras betis itu tular dalam media sosial.