“Terus bangun peluk anak dia..” – Wanita kongsi video sambutan hari lahir bapa undang sebak ramai
“Terus bangun peluk anak dia..” – Wanita kongsi video sambutan hari lahir bapa undang sebak ramai.
Bila bercakap tentang ‘ayah’, kita sering terbayang figura yang berani, tegas dan penuh kasih sayang.
Ayah, walau jarang mengungkap perasaan, diam-diam memikul tanggungjawab besar tanpa sebarang keluhan.
Pada zahirnya, ayah seseorang yang kelihatan ‘keras’, tetapi di dalam hati, anak-anak adalah dunia dan nyawanya.
Baru-baru ini, satu perkongsian di TikTok oleh pengguna @ummuisyou_ menyentuh hati ramai.
Video yang dimuat naik itu memaparkan momen menyayat hati semasa sambutan hari lahir ayah mereka yang membesarkan sembilan cahaya mata.
Menurut pengguna TikTok tersebut, adik-beradik mereka yang mesra dipanggil ‘Angah’, pada mulanya dijangka tidak dapat hadir kerana urusan kerja dan ramalan banjir di Terengganu.
Kerana itulah si ayah meminta agar video sambutan hari lahirnya tidak dikongsi dalam kumpulan (group) keluarga.
“Abah pesan kalau ambil video makan-makan, jangan post dalam group sebab takut Angah dan Abang Ngah sedih,” kongsi anak perempuan itu.
Namun, apa yang mengharukan, si ayah tidak dapat menahan air mata apabila ‘Angah’ yang disangkakan tidak dapat hadir, tiba-tiba muncul untuk meraikan hari istimewanya.
Dalam pada itu, si anak turut meninggalkan coretan buat insan istimewa dalam hidupnya yang bergelar ‘abah’.
“Abah, ini sahaja yang termampu daripada anak-anak abah kalau nak dibandingkan dengan pengorbanan abah selama ini jaga dan didik kami sembilan beradik.
“Semoga Allah membalas segala kebaikan abah kepada kami,” tulisnya.
@ummuisyou_ Abah pesan kalau ambik video makan2 jgn post dalam group sebab takut angah dan abgngah sedih, tapi abah taktau yg anak2 dah berpakat nk bagi surprise macamni , ikutkan angah tak dapat balik disebabkan urusan kerja dan ramalan banjir kat ganu tapi angah still nk balik jumpa abah, alhamdulillah surprise menjadi jugak , abah memang nak sangat2 birthday dia berkumpul semua sekali, alhamdulillah Allah dh makbulkan doa abah Abah, ini ja yg termampu dari anak2 abah kalau nk dibandingkan dgn pengorbanan abah selama ni jaga dan didik kami 9 beradik , semoga Allah membalas segala kebaikan abah kepada kami. ya Allah , berikan kesihatan yg baik buat abah kami, beliau adalah abah yg terbaik di dunia, terima kasih ya Allah kerana Kau satukan kami di hari bahagia abah ❤️ #fyp #ayahhebat #abah #cinta #family @ummu_ummy 🍉 @Noorlizan🤍 @Sheda @anisfienazbouquet @deybah shop @Palestine Fighter ✊🇵🇸
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut bukan sahaja menyentuh hati si ayah, malah turut mengundang pelbagai reaksi dari warga maya.
Ada yang teringatkan memori bersama ayah, ada pula yang berkongsi kerinduan terhadap insan tersayang yang telah pergi selamanya.
“Saya tak sempat rasa pelukan abah. Abah dah pergi jauh,”
“Rindu sangat arwah abah. Teringin nak peluk abah lagi.”
“Jagalah orang tua kita selagi mereka masih ada. Kehilangan mereka sangat perit.”
“Saya hanya mampu peluk dan cium batu nisan untuk ubati rindu.”
Bila berbicara tentang ayah, sukar untuk tidak merasa sebak.
Bagi mereka yang masih berpeluang memeluk ayah, hargailah setiap saat itu.
Tiada galang gantinya kasih seorang ayah, figura yang sentiasa menjadi pelindung dan tunjang keluarga.