Saintis beri amaran, hari terpendek dalam sejarah mungkin bakal tiba

Saintis beri amaran, hari terpendek dalam sejarah mungkin bakal tiba
Dalam satu penemuan yang mengejutkan, saintis memberi amaran bahawa Bumi kini berputar lebih laju daripada kebiasaan, menurut Daily Mail UK.
Keadaan ini berkemungkinan besar akan membawa kepada hari terpendek dalam sejarah dalam tempoh beberapa minggu sahaja.
Seorang ahli astrofizik dari Universiti London, Graham Jones, mendedahkan bahawa putaran Bumi kini menunjukkan pecutan luar jangka.
Perkara ini dijangka boleh menyebabkan pengurangan masa sebanyak 1.30, 1.38 atau 1.51 milisaat pada salah satu daripada tiga tarikh musim panas ini, iaitu 9 Julai, 22 Julai atau 5 Ogos.
Walaupun perubahan ini kelihatan sangat kecil, para penyelidik memberi amaran bahawa ia boleh memberi kesan kepada sistem teknologi penting seperti GPS, satelit dan pengukuran masa global.
Apa yang sedang berlaku kepada Bumi?
Sejak 2020, saintis telah mengesan bahawa Bumi semakin berputar sedikit lebih laju berbanding biasa.
Sebelum itu, Bumi sebenarnya mengalami perlambatan semula jadi kerana tarikan graviti bulan, faktor yang membentuk kitaran 24 jam yang kita amalkan hari ini.
Biasanya, satu putaran penuh Bumi mengambil masa tepat 86,400 saat (24 jam).
Namun, putaran Bumi tidak semestinya konsisten, ia boleh berubah beberapa milisaat disebabkan oleh pelbagai faktor semula jadi.
Antaranya seperti gempa bumi, arus laut, pencairan glasier, pergerakan logam cair dalam teras Bumi dan fenomena cuaca besar seperti El Niño.
Hari terpendek pernah direkod
Fenomena pecutan putaran Bumi bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia telah diperhatikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 5 Julai 2024, Bumi mencatatkan hari terpantas dalam sejarah moden, apabila tempoh satu hari menjadi 1.66 milisaat lebih pendek daripada tempoh standard 24 jam.
Ini bukan kali pertama perkara sebegini berlaku. Sejak tahun 2020, para penyelidik telah merekodkan beberapa kejadian serupa yang menunjukkan trend peningkatan kelajuan putaran Bumi.
Antaranya termasuklah pada 19 Julai 2020 dan 9 Julai 2021, masing-masing dengan pengurangan sebanyak 1.47 milisaat, serta pada 30 Jun 2022 yang mencatatkan pengurangan sebanyak 1.59 milisaat.
Tahun 2023 menyaksikan sedikit perlambatan, namun pada 2024, Bumi kembali memecut dan mencatat beberapa hari terpendek berturut-turut, menjadikannya tahun paling konsisten dengan putaran pantas dalam sejarah pengukuran moden.
Kenapa ia berlaku?
Menurut Daily Mail UK, punca sebenar pecutan ini masih menjadi misteri.
“Tiada siapa menjangkakan perkara ini… dan puncanya masih belum diketahui,” jelas Saintis dari Universiti Negeri Moscow, Leonid Zotov.
Para penyelidik kini menumpukan kajian terhadap pelbagai elemen yang mungkin menjadi penyumbang. Antaranya ialah:
- Perubahan dalam teras Bumi yang bersifat logam cair dan berpusing
- Arus laut yang mengalihkan jisim planet
- Angin ketinggian tinggi seperti jet stream
- Keseimbangan bentuk fizikal Bumi
Kesan terhadap dunia moden
Tambah Daily Mail UK, perubahan sekecil satu milisaat boleh memberi kesan besar terhadap teknologi moden, termasuk:
- Ketepatan sistem GPS
- Rangkaian komunikasi seperti telefon bimbit
- Sistem kewangan antarabangsa yang bergantung pada masa mikrodetik
Kini, dunia menggunakan Waktu Universal Berkoordinasi (UTC) untuk menyelaraskan masa. Dalam keadaan biasa, kita menambah leap second untuk memastikan waktu selari dengan pergerakan Bumi.
Namun, jika Bumi terus berputar lebih laju, saintis mungkin perlu mengurangkan satu saat, dikenali sebagai leap second negatif, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah manusia.
Apa yang bakal berlaku?
Pakar menyatakan bahawa, secara jangka panjang, Bumi akan kembali perlahan seperti biasa.
Namun buat masa ini, planet ini terus menunjukkan peningkatan kelajuan yang tidak dapat dijelaskan oleh model atmosfera dan lautan sedia ada.
“Lambat laun, Bumi akan perlahan semula,” kata Zotov. Tetapi buat masa ini, saintis masih giat mengkaji dan menanti jawapan sementara Bumi terus memecut, walaupun hanya dengan beberapa milisaat.