Harga emas cecah rekod tertinggi dalam sejarah

Harga emas cecah rekod tertinggi dalam sejarah

 

Harga emas cecah rekod tertinggi dalam sejarah

Harga emas meneruskan rekod kenaikan apabila pelabur terus mencari aset selamat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat kepada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi.

Harga spot emas meningkat 0.8 peratus kepada AS$2,865.61 seauns (RM405 segram), selepas mencapai paras rekod tertinggi AS$2,882.16 (RM415 segram) ketika awal sesi.

Niaga hadapan emas AS ditutup 0.6 peratus lebih tinggi pada AS$2,893 seauns (RM418 segram).

“Emas terus dipengaruhi oleh ketidakpastian perdagangan, tarif dengan China dan tindak balas balas menyebabkan pasaran berada dalam keadaan tegang.

“Jadi aliran aset selamat kekal sebagai faktor utama,: kata Naib Presiden dan Pakar Strategi Kanan di Zaner Metals, Peter Grant.

Awal minggu ini, China melaksanakan langkah mengenakan tarif ke atas barangan AS sebagai tindak balas kepada tarif baharu AS, sekali gus meningkatkan perang perdagangan.

Presiden AS, Donald Trump pula menyatakan tiada keperluan mendesak untuk berbincang dengan Presiden China, Xi Jinping, bagi meredakan ketegangan.

Sementara itu, Perkhidmatan Pos AS berkata, ia meneruskan penerimaan semua mel dan bungkusan masuk dari China dan Hong Kong pada Rabu, sehari selepas perkhidmatan itu digantung sementara.

Tiga pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS memberi amaran bahawa tarif perdagangan Trump boleh mendorong inflasi, dengan salah seorang daripadanya mencadangkan ketidakpastian mengenai unjuran harga memerlukan pemotongan kadar faedah yang lebih perlahan.

Laporan Pekerjaan Nasional ADP menunjukkan ekonomi AS menambah 183,000 pekerjaan dalam sektor swasta bulan lalu, berbanding anggaran ahli ekonomi yang menjangkakan kenaikan sebanyak 150,000.

“Pekerjaan akan menjadi tumpuan utama minggu ini. Namun, saya tidak fikir apa-apa yang akan memberi kesan besar terhadap jangkaan dasar Fed, kecuali terdapat perubahan yang benar-benar ketara,” kata Grant.

Pelabur kini menantikan laporan gaji pekerja AS hari ini untuk mendapatkan lebih banyak petunjuk mengenai hala tuju kadar faedah.

Emas dianggap sebagai lindung nilai terhadap inflasi, namun kadar faedah yang lebih tinggi boleh mengurangkan daya tarikannya kerana logam itu tidak memberikan pulangan faedah.

Emas putih spot meningkat 0.8 peratus kepada AS$32.36 seauns, platinum naik 1.8 peratus kepada AS$980.95 dan paladium menambah 0.3 peratus kepada AS$990.75.