Harga emas dijangka akan terus tinggi dalam tempoh sederhana – Penganalisis

Harga emas dijangka akan terus tinggi dalam tempoh sederhana – Penganalisis

 

Harga emas dijangka akan terus tinggi dalam tempoh sederhana – Penganalisis

Harga emas dijangka akan terus tinggi dalam tempoh sederhana sekiranya sentimen global kekal tidak menentu dan pelabur terus berhati-hati terhadap masa depan ekonomi Amerika Syarikat (AS), menurut penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.

Beliau berkata, jangkaan itu berikutan harga emas melonjak sebanyak 30.09 peratus kepada AS$3,414 satu auns (RM510.58 segram) dalam tempoh setahun berikutan krisis geopolitik berpanjangan dan kemerosotan keyakinan pelabur terhadap dolar AS.

“Emas kekal menjadi aset lindung nilai utama ketika dunia berdepan ketidaktentuan, terutamanya apabila berlaku konflik peperangan dan kesan perang yang dicetuskan Israel lebih berganda kerana AS menghadapi krisis kewangan tersendiri dengan kurangnya keyakinan pengurus dana kepada dolar AS.

“Kali ini, kesan peperangan lebih ketara kerana ia berlaku serentak dengan krisis kewangan dalam negara kuasa besar seperti AS, dan ini menyebabkan pengurus dana global kehilangan keyakinan terhadap dolar,” katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau mengulas mengenai harga emas melonjak untuk hari keempat berturut-turut pada Isnin, menghampiri paras tertinggi dalam tempoh dua bulan susulan pertempuran semakin sengit antara Israel dan Iran sekali gus mendorong pelabur beralih kepada aset selamat.

Selain itu beliau berkata, perbezaan ketara dapat dilihat apabila perang Rusia-Ukraine sebelum ini menyaksikan dolar mengukuh, namun dalam konflik kali ini, dolar AS menyusut akibat tekanan dalaman.

Katanya, indeks kekuatan dolar (DXY) merosot -9.69 peratus dalam tempoh setahun, manakala dolar AS berbanding ringgit juga menyusut -5.10 peratus.

“Situasi ini mendorong pelabur global mengalihkan aset mereka ke dalam bentuk emas yang dianggap lebih stabil dan selamat, khususnya ketika nilai mata wang fiat terjejas,” katanya.

Beliau berkata, penjualan besar-besaran bon perbendaharaan AS turut mencerminkan aliran keluar pelaburan yang semakin menjauhi dolar.

“Emas sudah lama menjadi pelaburan selamat setiap kali krisis berlaku dan trend ini kekal relevan hingga ke hari ini.

“Walaupun harga emas mungkin turun semula selepas sesuatu konflik mereda, nilainya biasanya kekal lebih tinggi daripada paras asal sebelum krisis berlaku,” katanya.