Pemilik kereta halang laluan di Lebuhraya Utara-Selatan ditahan

Pemilik kereta halang laluan di Lebuhraya Utara-Selatan ditahan
Polis menahan seorang daripada pemilik tiga kereta yang menghalang laluan di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pedas-Linggi, sehingga videonya tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Rembau Superintendan Hasani Hussain berkata, suspek yang berusia 50-an ditahan di sekitar Seremban, 12.30 tengah malam tadi.
“Polis menahan seorang suspek yang juga pemilik kenderaan yang disyaki menghalang lalu lintas di Lebuh raya PLUS. Kami sedang memburu suspek lain.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek adalah ejen tarik kenderaan dan mereka menahan kenderaan kerana mahu menarik sebuah kereta,” katanya dihubungi.
Menurutnya, kes antaranya disiasat mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana menghalang laluan orang awam, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Hasani berkata, pihaknya memandang serius sebarang tindakan yang mengganggu kelancaran trafik.
“Ia mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain terutamanya di lebuh raya yang mempunyai aliran trafik berkelajuan tinggi. Tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berpotensi menyebabkan kemalangan maut,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Fathiah Ak’Dilah Ishak di talian 010-5825384 atau Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim di talian 019-7992519.