Majlis jamuan hari raya KRT Halaman Meru Permai eratkan perpaduan komuniti

Majlis jamuan hari raya KRT Halaman Meru Permai eratkan perpaduan komuniti
Keharmonian kejiranan di Halaman Meru Permai terus terserlah menerusi penganjuran Majlis Jamuan Hari Raya anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Halaman Meru Permai pagi ini. Majlis ini turut dihadiri oleh Dato’ Asmuni Awi, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi DUN Manjoi.
Menurut Dato’ Asmuni, KRT Halaman Meru Permai merupakan antara KRT paling aktif di kawasan DUN Manjoi sejak beliau menjawat jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri. Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha dan komitmen KRT dalam menganjurkan pelbagai program berasaskan semangat kejiranan dan perpaduan.
“Sepanjang penglibatan saya, pihak KRT sentiasa mendapat sokongan termasuk bantuan kewangan dan kerjasama erat daripada Pusat Komuniti DUN Manjoi,” ujar beliau. Beliau juga menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan serta memperkukuhkan kerjasama tersebut demi kesejahteraan komuniti setempat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa tokoh masyarakat dan agensi tempatan antaranya Cikgu Zainori selaku Pengerusi KRT, En Aziz (Timbalan Pengerusi KRT), En Suhaimi (Pengerusi Persatuan Penduduk Lintasan Meru Permai), En Zaizulman (Pegawai Perpaduan Daerah Kinta), Ustaz Firdaus dari JAIPk serta wakil dari Balai Bomba Meru Raya.
Majlis yang berlangsung dalam suasana mesra dan meriah ini menjadi bukti betapa pentingnya semangat komuniti dan perpaduan dalam membina masyarakat yang harmoni dan inklusif selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 dan Malaysia MADANI.