Hajat nak balik raya tak kesampaian, lelaki maut dirempuh ketika berehat di tepi jalan

Hajat nak balik raya tak kesampaian, lelaki maut dirempuh ketika berehat di tepi jalan

Hajat lelaki nak balik raya tak kesampaian, maut dirempuh ketika berehat di tepi jalan. Seorang lelaki tidak sempat pulang ke kampung halamannya di Kampung Bertam, Gua Musang untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

Lelaki itu maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori dengan motosikal di Kilometer (km) 25, Jalan Lipis- Benta pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, mangsa, Mohamad Suhamel Ismail, 24, merupakan penunggang motosikal, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, hasil siasatan mendapati pemandu lori berusia 29 tahun dari Klang, Selangor menuju ke Tanah Merah, Kelantan untuk menghantar muatan tilam.

Menurutnya, mangsa pula dalam perjalanan dari rumahnya di Kepong, Kuala Lumpur menuju ke kampungnya di Kampung Bertam, Gua Musang, untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

“Apabila tiba di tempat kejadian iaitu bulatan Benta, lori terbabit (dikatakan) telah mengelak sebuah kereta yang rosak di tengah bulatan sehingga menyebabkan kenderaan itu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.

“Lori tersebut kemudian merempuh penunggang motosikal yang dipercayai sedang berehat. Akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia, manakala lori terbalik di tepi jalan” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata lapan anggota dari Balai Bomba Kuala Lipis dihantar ke lokasi untuk mengeluarkan mayat mangsa yang terperosok di bawah lori.

Keadaan lori yang terbalik selepas merempuh penunggang motosikal di Kilometer 25 Jalan Lipis-Benta di Lipis, pagi tadi. - Foto IPD LIPIS

“Dua kren digunakan untuk mengangkat lori sebelum bomba dapat mengeluarkan mayat mangsa dari bawah kenderaan itu,” katanya.

Beliau memaklumkan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Selain itu, Ismail memohon kerjasama daripada mana-mana pihak yang melihat kejadian terbabit tampil membantu siasatan.