Guru didakwa herdik murid buat laporan polis, minta siasatan lanjut tuntut kebenaran

Guru didakwa herdik murid buat laporan polis, minta siasatan lanjut tuntut kebenaran

 

Guru didakwa herdik murid buat laporan polis, minta siasatan lanjut tuntut kebenaran

Polis membuka kertas siasatan terhadap dakwaan guru memarahi dan mengherdik seorang murid sekolah selepas video kejadian tular di media sosial.

Polis menjalankan siasatan terhadap kedua-dua pihak, iaitu guru dalam video tular itu dan keluarga murid yang didakwa menjadi mangsa, bagi memastikan kebenaran kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh guru berusia 40 tahun itu semalam, yang menafikan pembabitan dalam kejadian berkenaan.

“Wanita itu yang juga guru dari sebuah sekolah di Kajang menafikan pembabitan beliau dalam kejadian yang berlaku serta meminta siasatan lanjut dijalankan untuk mendapatkan kebenaran.

“Sehingga kini, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh pihak ibu bapa atau mangsa bagi kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun atau kedua-duanya.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah) yang membawa hukuman penjara maksimum selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Dalam masa yang sama, siasatan selari turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum penjara selama setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan ke balai berhampiran atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Insp. Nur Fatihah Awang di talian 011-25703695 bagi membantu siasatan.