Kedai jual gulai kambing ‘harga kayangan’ diberi notis
Kedai jual gulai kambing ‘harga kayangan’ diberi notis
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan Notis Bertulis (NB) ke atas sebuah kedai makan di daerah Kubang Pasu kerana didakwa mengenakan harga ‘kayangan’ bagi makanan berlaukkan gulai kambing.
Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludian berkata, pihaknya mengesan satu hantaran yang tular di Facebook mendakwa sebuah kedai makan menjual gulai kambing pada harga tidak munasabah.
“Sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Kubang Pasu membuat pemeriksaan lanjut dan berjumpa dengan pemilik premis.
“Pemeriksaan yang dilakukan kira-kira pukul 11.00 pagi semalam mendapati premis yang dimiliki warganegara berusia lingkungan 40-an ada menyediakan menu untuk makluman pelanggan serta terdapat tanda harga dipamerkan di premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, susulan itu, premis berkenaan telah diberikan NB di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang mana pemilik perniagaan perlu mengemukakan maklumat harga kos dan jualan berhubung penyediaan hidangan makanan itu dalam masa enam hari bekerja.
“KPDN memberi amaran kepada mana-mana peniaga agar tidak sewenang-wenangnya meletakkan harga yang tidak munasabah dan pengguna dinasihatkan supaya sentiasa menyemak harga sebelum membuat pembelian.
“Ini adalah kerana Akta Perlindungan Pengguna 1999 memberikan hak kepada pengguna untuk mendapatkan maklumat berhubung sesuatu barangan termasuk hidangan makanan sebelum membuat pesanan,” ujarnya.
Sementara itu, menerusi hantaran tular tersebut, seorang pengguna mendakwa caj makanan yang dikenakan pihak premis kepada tiga orang iaitu RM150 adalah terlalu mahal.
“Warga Changlun dan sekitar, nak tanya siapa yang pernah makan di kedai ini? Memang harga Yahudi ke? Caj terlalu mahal, tiga orang makan RM150. Seketul kambing kecil-kecil kira RM19 seketul,” dakwa pengguna terbabit.