“Nama baik saya rosak” – Gerai makan 25 tahun bankrap gara-gara review negatif ‘food vlogger’

“Nama baik saya rosak” – Gerai makan 25 tahun bankrap gara-gara review negatif ‘food vlogger’
Sebuah gerai makan yang beroperasi sejak 1998, terpaksa ditutup selepas menerima ulasan negatif daripada seorang food vlogger.
Restoran yang terletak di Indonesia dengan nama Oseng Madun Nyak Kopsah dan dimiliki oleh Bang Madun ini mengaku perniagaannya ‘hancur’ dan nama baiknya rosak teruk akibat insiden tersebut.
Video ulasan biasa yang dikeluarkan oleh food vlogger tersebut pada 2023 tanpa disangka telah mengheret perniagaannya ke lembah muflis, lapor TribunNews.
Kisah pahit Bang Madun bermula apabila sebuah video food vlogger yang meninjau gerainya tular di media sosial.
Berbeza dengan harapan, ulasan tersebut bukan memuji, sebaliknya mendedahkan isu kebersihan dan kualiti makanan.
Walaupun Bang Madun mengaku cerewet tentang kebersihan, dia mengakui ada perkara yang terlepas pandang.
“Hancur, nama baik saya rosak,” luah Bang Madun dalam satu wawancara bersama dr. Richard Lee.
Akibat ulasan itu, pelanggan yang selama ini setia mula menjauhkan diri.
Perlahan-lahan, pendapatan gerai merudum sehingga Bang Madun tidak lagi mampu menampung kos operasi.
Perniagaan yang selama ini menjadi sumber rezeki keluarganya akhirnya terpaksa ditutup.
Dalam usaha menyelamatkan gerainya, Bang Madun terpaksa meminjam wang sebanyak RM70,000 (Rp250 juta) dari bank.
Namun, langkah itu tidak cukup untuk mengembalikan gerai yang pernah menjadi kebanggaannya.
Malah, dia terpaksa memberhentikan sembilan pekerja kerana tidak mampu lagi membayar gaji mereka.
Selain kehilangan sumber pendapatan, Bang Madun turut berdepan tekanan emosi.
Dia mengakui pernah membenci diri sendiri dan ahli keluarganya kerana kegagalan perniagaan ini.
“Saya benci diri saya, adik-adik saya… Saya selalu menekankan kebersihan, tapi mungkin ada yang terlepas,” katanya.
“Saya tak mahu abang saya menderita, sebab itu saya sanggup berhutang,” ujarnya.
Kini, dia sedang berusaha memperbaiki keadaan gerai, meningkatkan kebersihan, dan menarik kembali pelanggan yang mungkin sudah hilang kepercayaan.