“Jangan tertipu” – Wanita gaji RM45k dedah T20 tak suka menonjol, tak ajak orang jadi kaya

“Jangan tertipu” – Wanita gaji RM45k dedah T20 tak suka menonjol, tak ajak orang jadi kaya

 

“Jangan tertipu” – Wanita gaji RM45k dedah T20 tak suka menonjol, tak ajak orang jadi kaya

Perkongsian di media sosial kini banyak memaparkan individu mengamalkan gaya hidup mewah seolah-olah memiliki pendapatan tinggi.

Apa yang berlaku ini membuatkan seorang wanita membuat perkongsian, bimbang ramai tertipu seterusnya menjadi mangsa penipuan.

Membongkar taktik ini, katanya, kebanyakan individu yang gemar menonjolkan gaya hidup mewah dan berpendapatan tinggi seperti mana dilihat di media sosial adalah golongan scammer.

Dia turut mendakwa perkongsian mereka yang dianggap memberi inspirasi itu sebenarnya hanya ‘umpan’ untuk menarik mangsa menyertai skim cepat kaya atau cabang bisnes yang tidak wujud.

“Aku gaji RM45,000, aku tak ada nak kongsi gaji dekat orang kemudian ajar tip dan tunjuk muka beserta nama betul.

“Jangan jadi bodoh dan tertipu dengan scammers. Tak ada cara mudah untuk menjadi kaya,” ujarnya menerusi satu hantaran di media sosial.

Dia yang bekerja dalam sektor korporat berkata, kebanyakan golongan berpendapatan tinggi lahir dari ‘dunianya’ dan bukanlah menerusi perniagaan.

“Ramai yang datangnya dari korporat bukannya bisnes. Kau ingat bisnes senang ke nak kaya? Jangan tertipu dengan media sosial boleh?

“Mungkin ada juga yang ingat aku tipu tapi satu je aku nak ingatkan supaya jangan terpedaya dengan teknik pemasaran yang menipu,” tambahnya.

Menerusi postingnya, dia amat menegaskan bahawa tiada jalan mudah untuk menjadi kaya.

Malah dia turut berkongsi pengalaman mengenali individu yang kononnya berminat membeli kenderaan jenama Mercedes model A45s miliknya.

Ketika sesi pertemuan, individu tersebut sentiasa merakam video dan mengambil gambar termasuk melakukan pandu uji.

Namun akhirnya mendiamkan diri bersama gambar dan video berkenaan.

“Aku nak jual A45s dan ada seorang makhluk ni berminat. Tau apa dia buat? Dia datang buat pandu uji, ambil gambar dan video macam kereta dia, lepas tu diam.

“Kau rasa kandungan tu dia buat apa,” tambahnya yang geram dengan sikap segelintir individu yang gemar mengambil kesempatan.

Beranggapan ramai yang ingin mengetahui jawatan dan pekerjaannya, wanita ini mendedahkan bahawa dia berkhidmat di bawah ketua bahagian teknologi, sistem, penyelidikan dan pembangunan (CTO).

“Aku belum level C lagi, aku bawah CTO tapi perlu lapor terus kepada CEO (ketua pegawai eksekutif).

“Berkhidmat sebagai Enterprise Solution Architect yang mencipta reka dan menghasilkan sistem enterprise dari asas,” jelasnya memperincikan kerjaya korporat yang diceburi.

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai maklum balas daripada warga maya.

“Betullah tu, kalau dah gaji banyak macam tu memang tak akan kongsi cara nak jadi kaya, yang ajak orang tu memang jenis scammer.

“Macam mana la rasa ada gaji RM45,000, saya gaji RM2,500 pun dah rasa bersyukur sangat.

“Tak kira betapa banyak pun gaji kau, tapi kau masih bekerja di bawah orang dan bila-bila masa boleh dibuang.

“Berbisnes memang susah nak kaya, tapi dia boleh bagi gaji tinggi lebih sikit dari pendapatan median rakyat Malaysia,” demikian antara reaksi warga maya.

Sumber: mStar