Nahas FRU: Gagal bayar wang jaminan, pemandu lori batu dihantar ke penjara

Nahas FRU: Gagal bayar wang jaminan, pemandu lori batu dihantar ke penjara
Pemandu lori muatan batu kerikil akan ditempatkan di penjara selepas gagal membayar wang jaminan berjumlah RM6,000 atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, setakat jam 7 malam, lelaki berusia 45 tahun itu belum menjelaskan wang jaminan seperti ditetapkan Mahkamah Majistret.
“Tertuduh ada beritahu yang majikan akan bantu bayar, tetapi setakat ini belum lagi.
“Dia akan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebelum dipindahkan untuk reman penjara,” katanya.
Dalam kes itu, tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dia didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian kepada S Perumal, 44; Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Mohd Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Akmal Wafi Annuar, 28; di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik dalam daerah Hilir Perak jam lebih kurang 9.05 pagi pada 13 Mei 2025.
Hakim Norhamizah Shaiffudin membenarkan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes di mahkamah selesai selain melapor diri di balai polis setiap minggu.
Sebutan semula kes dan lantikan peguam ditetapkan pada 17 Jun ini.