“Saya tak cukup baik jadi suami awak” – Angau gadis intern, lelaki bagi alasan ‘cliche’

“Saya tak cukup baik jadi suami awak” – Angau gadis intern, lelaki bagi alasan ‘cliche’

 

“Saya tak cukup baik jadi suami awak” – Angau gadis intern, lelaki bagi alasan ‘cliche’

Tidak pernah terlintas di fikiran, perkahwinan yang dibina bertahun-tahun lamanya akhirnya musnah di tengah jalan kerana kehadiran orang ketiga.

Segala kasih sayang, air mata serta pengorbanan yang dicurahkan selama tempoh itu terus dipandang sepi seperti langsung tiada nilai.

Begitulah nasib seorang wanita yang terpaksa menerima kenyataan bahawa perkahwinannya selama 15 tahun bakal berakhir dek kerana gadis pelatih industri di tempat kerja suaminya.

“Seorang kawan aku, dah kahwin 15 tahun dan akhirnya si suami cakap kat dia… bukan sebab awak, tapi sebab saya. Saya tak cukup baik dan tak akan jadi suami yang baik pada awak.

“Lepas semua yang dia lalui, semua pengorbanan, semua susah senang bersama, ini je yang dia dapat? 15 tahun, dan lelaki tu senang-senang cakap macam tu je.

“Sumpah aku rasa nak marah, rasa kecewa. Tak guna betul lelaki macam ni,” luah seorang wanita mengenangkan rakan baiknya itu menerusi hantaran di laman sosial.

Selepas setahun, katanya suami rakannya itu semakin rapat dengan pelajar latihan industri berkenaan dan kedua-duanya masih berhubung meskipun tidak mengetahui status hubungan mereka.

“Selama ni aku selalu je rasa cemburu tengok perkahwinan dia, 15 tahun turun naik (susah senang) sama-sama.

“Aku ni baru kahwin sembilan tahun, dah macam-macam gaduh tapi kebanyakannya sebab anak je, kadang rasa penat sangat dengan rumah tangga ni.

“Tapi yang peliknya, aku selalu tanya dia, minta nasihat… rupanya hidup dia pun bukan senang,” ujarnya.

Menerusi hantaran sama, dia mendedahkan kisah rumah tangga rakan baiknya itu hanya diketahui dalam satu pertemuan di sebuah kafe.

“Kami keluar minum kopi hari tu, dan dia cerita semua sampai menangis. Sumpah aku terkedu, tak tahu nak cakap apa.

“Aku cuma cakap yang aku akan sentiasa ada untuk dia. Aku cuma cakap suami dia yang tak nak berubah dan memang lelaki tak berguna,” jelasnya.

Meneruskan cerita, menurut wanita tersebut suami kepada rakannya itu bagaimanapun menafikan dia mempunyai hubungan sulit dengan gadis ‘intern’ itu.

“Aku memang dah boleh agak, dan dia pun tahu. Semua yang jadi ni memang ada kaitan dengan perempuan tu, walaupun si suami mati-mati nafikan.

“Dia beritahu… aku tak nak korek lebih dalam sebab tahu aku akan sakit lagi. Aku terus cakap kat dia untuk tinggalkan saja lelaki macam tu. Jangan merayu, jangan terus fight untuk benda yang suami sendiri memang dah tak nak,” katanya.

Namun jauh di sudut hati, sebagai sahabat dia tetap bersedih dengan ujian yang terpaksa dilalui rakan baiknya itu dalam rumah tangga.

Malah, dia turut mengakui usia perkahwinan yang lebih sedekad itu tidak seharusnya berakhir hanya kerana pihak ketiga di tempat kerja.

“Aku sedih sangat untuk dia… 15 tahun kahwin, tapi macam tu je kesudahannya.

“Bayangkan, nilai 15 tahun perkahwinan tu cuma jadi satu perkara bodoh kerana si suami ada perasaan terhadap gadis intern. Budak tu langsung tak ada dengan kau masa kau susah atau senang pun,” ujarnya yang turut meluahkan kesedihannya.