Fitnah Rosmah Mansor amal ilmu hitam, TikToker diperintah bayar RM100,000

Fitnah Rosmah Mansor amal ilmu hitam, TikToker diperintah bayar RM100,000

 

Fitnah Rosmah Mansor amal ilmu hitam, TikToker diperintah bayar RM100,000

Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memerintahkan pemilik akaun TikTok membayar RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kenyataan fitnah, mendakwa isteri bekas Perdana Menteri terbabit mengamalkan ilmu hitam, dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Rosmah, 74, kerana Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan pada tarikh ditetapkan.

Semasa membaca keputusan dalam prosiding taksiran Ganti rugi yang dibuat secara dalam talian Zoom, hakim ini berkata, plaintif berjaya membuktikan kelayakannya untuk menerima ganti rugi akibat fitnah itu.

“Setelah menimbangkan semua pertimbangan tersebut, mahkamah ini berpendapat bahawa jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000 merupakan suatu penilaian yang adil dan seimbang.

“Jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000 ini merangkumi ganti rugi am dan ganti rugi teruk.

“Tuntutan bagi ganti rugi teladan tidak dibenarkan memandangkan tiada keterangan kukuh yang dikemukakan di hadapan mahkamah ini bagi menyokong pemberian tersebut,” katanya.

Pada 19 September 2023, Rosmah mengemukakan saman menerusi Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak dan menuntut Ganti rugi RM1 juta daripada Ku Muhammad Hilmie berhubung kenyataan fitnah terbabit.

Menerusi afidavit sokongan, Rosmah selaku plaintif menamakan Ku Muhammad Hilmie selaku defendan, selepas lelaki yang mempunyai seramai 1,584 pengikut itu, memuat naik satu rakaman video akaun TikTok menggunakan nama ‘CEO Heelmie Fighter’ mengandungi kenyataan tidak benar pada 22 Mac tahun sama.

Rosmah berkata, jumlah ganti rugi itu wajar memandangkan kenyataan fitnah tersebut telah memusnahkan kredibiliti, nama baik dan reputasinya.

Beliau memohon, ganti rugi itu mengambil kira status, latar belakang, pencapaiannya selain mempertimbang reputasi sebagai figura yang dikenali serta penaung kepada beberapa badan amal di negara ini telah tercalar.

Pada 28 Mei tahun lalu, Rosmah memperoleh penghakiman ingkar terhadap defendan, di Mahkamah Tinggi di sini.