Tiada penyesalan, Fazura kongsi perasaan selepas bercerai

Tiada penyesalan, Fazura kongsi perasaan selepas bercerai

 

Tiada penyesalan, Fazura kongsi perasaan selepas bercerai.

Aktres terkenal, Nur Fazura mengaku tidak pernah menyesal membuat keputusan bercerai dengan bekas suami, Fattah Amin pada 7 Oktober lalu.

Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin berkata, ini kerana dia sudah melakukan yang terbaik sepanjang tujuh tahun perkahwinan mereka.

“Saya berkahwin tujuh tahun dan baru sahaja bercerai, sebulan lalu. Tiada penyesalan.

“Saya bangga dapat bertahan dan buat yang terbaik untuk perkahwinan ini,” katanya ketika menjadi tetamu program SEA Today News, Indonesia sempena mempromosikan single berjudul Bertahan Demi Cinta hasil paduan suara dengan Fattah, baru-baru ini.

Single yang pernah mencetuskan kontroversi dilancarkan dua hari selepas bercerai. Karya ciptaan sepenuhnya Ippo Hafiz dan diterbitkan oleh syarikat rakaman Indonesia, Hits Records.

Menerusi temubual itu, pelakon Dendam Pontianak itu turut mengulas inspirasi di sebalik pembikinan single itu.

“Ia mengisahkan lelaki dan wanita saling mencintai dan sudah tentu dalam perkahwinan akan ada halangan.

“Jadi, perkara paling penting adalah terus bertahan dan berjuang demi cinta. Lagipun judulnya Bertahan Demi Cinta.

“Jadi, apapun terjadi, saya kena harungi segala ujian dan bertahan dalam perkahwinan,” ujarnya.

Berkongsi maklum balas diterima terhadap single berkenaan, Fazura berkata, sambutan diterima cukup menggalakkan.

Malah, katanya, disebabkan lagu Bertahan Demi Cinta, peminat masih menaruh harapan untuk mereka kembali rujuk.

“Penggambaran video muzik dirakamkan pada Februari lalu dan dilancarkan, bulan lalu.

“Sambutan diterima sangat menggalakkan. Peminat suka dengan lagu ini. Disebabkan kami sudah bercerai, mereka masih menaruh harapan yang saya dan Fattah kembali bersama.

“Dari sudut lebih positif, mereka sangat menyokong, berikan banyak komen dan kirimkan kasih dan sayang kepada saya dan bekas suami,” ungkapnya.

Fazura dan Fattah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam pada 7 Oktober lalu.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan hasil perkongsian hidup dikurniakan cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4.