FashionValet: SPRM kesan transaksi akaun meragukan sejak 2018, barangan mewah pernah ‘show off’ di IG kini disiasat
FashionValet: SPRM kesan transaksi akaun meragukan sejak 2018, barangan mewah pernah ‘show off’ di IG kini disiasat.
Dalam perkembangan terbaru siasatan ke atas syarikat e-dagang FashionValet berhubung kerugian pelaburan RM43.9 juta, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesan terdapat beberapa transaksi akaun mencurigakan.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, transaksi mencurigakan itu dikesan berlaku sejak 2018 hingga tahun lalu.
Pasukan siasatan setakat ini merumuskan terdapat transaksi akaun meragukan daripada sebuah syarikat (dikaitkan dengan pasangan pengasas FashionValet) dan beberapa pihak lain yang disiasat.
Kita juga berjaya mengesan beberapa transaksi kewangan mencurigakan. (Transaksi mencurigakan) ini bermula dari 2018 hingga 2023.
Setakat ini, pihak SPRM sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Tambah Azam, pihaknya kini melihat kepada aliran punca kewangan dan sebab kemasukan dan ke mana wang itu dibelanjakan bagi melihat adakah terdapat unsur jenayah rasuah atau kesalahan lain membabitkan penipuan.
Namun, kita percaya ada sebahagian pelaburan (diterima) yang disalahguna dalam hal ini, ini kita sedang kenal pasti.
Tambahnya, SPRM kini sedang dalam peringkat mengesan barangan milik pengasas FashionValet yang pernah ditunjukkannya dalam media sosial sebelum ini.
Dalam pada itu, Azam juga berkata Datuk Fadza Anuar dan Datin Vivy Yusof tidak akan ditahan reman memandangkan mereka berdua memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.