Restoran mamak sedia terima etnik Rohingya sebagai pekerja jika dibenarkan kerajaan
Restoran mamak sedia terima etnik Rohingya sebagai pekerja jika dibenarkan kerajaan
Iklan kerja kosong bagi pengambilan pekerja tempatan yang dibuat ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menerusi Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tidak mendapat sambutan memberangsangkan.
Presiden PRESMA, Datuk Jawahir Ali Taib Khan, berkata berikutan masalah itu, mereka tidak mempunyai pilihan selain mengharapkan kerajaan membenarkan pengambilan pekerja asing bagi memenuhi keperluan operasi ahli masing-masing.
Beliau berkata, pihaknya juga tiada masalah untuk menggajikan pekerja dalam kalangan etnik Rohingya yang berada di negara ini, jika golongan itu mempunyai dokumen yang teratur serta dibenarkan oleh kerajaan untuk diambil bekerja.
“Untuk mengambil etnik Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), saya difahamkan ketika ini belum ada dasar yang jelas lagi mengenai mereka.
“Kami tiada masalah untuk mengambil mereka untuk bekerja jika langkah itu dibenarkan oleh pihak berkuasa,” katanya kepada BH Online.
Jawahir Ali berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan yang sedia berbincang bersama agensi berkaitan mengenai permintaan berhubung kebenaran membawa masuk pekerja asing dalam sektor restoran susulan masalah yang dihadapi untuk mendapatkan pekerja tempatan walaupun pelbagai inisiatif sudah diambil ahlinya.
Beliau berkata, ahli PRESMA pihaknya tiada masalah berhubung pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu yang menyaksikan kenaikan haji minimum RM1,700 sebulan berkuat kuasa mulai hari ini berbanding sebelum ini RM1,500 sebulan.
“Berhubung gaji minimum itu, PRESMA bukan saja memastikan ia dipatuhi, malah ahli kami memberi nilai tambah seperti menyediakan makanan percuma, selain ada yang menyediakan kemudahan asrama yang selesa untuk pekerja masing-masing.
“Sebelum ini, PRESMA pernah beberapa kali mengadakan temuduga terbuka untuk orang ramai, namun ia tidak mendapat sambutan.
“Jadi, tidak timbul isu PRESMA tidak mahu menggaji pekerja tempatan sebaliknya faktor kesesuaian menjadi antara penyebab kenapa ia tidak mendapat sambutan,” katanya.
Semalam media melaporkan, kerajaan sedia berbincang bersama agensi berkaitan mengenai permintaan beberapa persatuan berhubung kebenaran membawa masuk pekerja asing dalam sektor restoran.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, mengenai permintaan itu.
Mengulas lanjut, Jawahir mengakui, pekerja tempatan yang tidak biasa dengan sektor restoran, mungkin berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran serta memastikan kualiti makanan dan minuman yang disediakan.
Sehubungan itu, katanya, PRESMA menyambut baik sekiranya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dapat membantu pemilik restoran mendapatkan pekerja tempatan untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja dalam bidang itu.
“Sudah menjadi keutamaan PRESMA untuk mengutamakan pekerja tempatan dalam bidang ini dan ia terbukti dengan beberapa pemilik restoran hari ini sebelum ini adalah pekerja yang sudah berpengalaman bekerja di restoran,” katanya.