“Erra ada ciri-ciri wanita idaman saya” – Mr E

“Erra ada ciri-ciri wanita idaman saya” – Mr E

 

“Erra ada ciri-ciri wanita idaman saya” – Mr E

Ahli perniagaan, Ezwan Zain atau lebih dikenali sebagai ‘Mr E’ mengakui hubungan Erra Fazira yang mula terjalin sejak Ogos tahun lalu, semakin serius.

Sehubungan itu, Ezwan, 44, mendedahkan, dia merancang membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih baik, seperti yang diharapkan ramai orang.

“Status hubungan kami ketika ini adalah kita cuba hendak pergi ke fasa seterusnya, iaitu fasa yang lebih baik. Dari fasa kenal, kini kami semakin mengenali.

“Dari lebih mengenali, mungkin ada merancang sesuatu… Macam itulah,” katanya ditemui pada majlis berbuka puasa di restoran Kueh yang diusahakannya di Setia Alam.

Ditanya mengapa Erra menjadi pilihan, Ezwan yang juga duda anak satu, mengakui aktres yang mula meledak dalam filem Sembilu itu memiliki kriteria untuk dijadikan pasangan hidup.

“Sejujurnya, saya tidak begitu kenal Erra sebelum ini. Jadi, apabila kali pertama bertemu dengannya, terbit rasa kekaguman dalam diri. Ini dalam segi perwatakan, cara berkomunikasi, tutur bahasa dan adab yang membuatkan saya tertarik untuk lebih mengenali Erra.

“Saya lebih tertarik dengan sisi keperibadian, bukannya sisi glamor Erra sebagai artis. Saya juga ada ramai kawan-kawan dalam kalangan artis.

“Erra ada ciri-ciri wanita idaman saya. Saya suka dengan wanita yang agak matang dan lebih terbuka. Walaupun dia lebih berusia, namun, kami tidak pernah ada masalah daripada segi komunikasi.

“Hendak bincang apa-apa pun senang,” katanya.

Ezwan menambah, hubungan dengan Erra direstui anak perempuannya.

“Kebetulan anak saya dan anak Erra sebaya. Adalah beberapa kali dia berjumpa Erra, iaitu ketika kami keluar makan bersama.

“Anak saya bukanlah ‘introvert’. Jadi, dia agak terbuka. Saya pun selalu titik beratkan soal adab dan cara kita (berkomunikasi) dengan orang yang lebih dewasa.

“Setakat ini, anak saya tidak ada masalah dan anak Erra juga tiada masalah,” katanya.

Ezwan mengakui sering menjadi bahan usikan teman-teman yang tahu kisah hubungannya dengan Erra. Namun, dia hanya membalas semua usikan nakal itu dengan senyuman.

“Saya tiada masalah dengan perhatian yang diberi kerana saya sudah biasa. Kalau ada yang usik-usik, saya senyum sahaja.

“Disebabkan hal itu, ramai yang hendak jadi pengikut saya di Instagram (IG)… Ribuan pengikut jugalah jumlahnya.

“Bagaimanapun, saya terpaksa buat tetapan privasi kerana IG saya ada buat hantaran mengenai anak. Jadi, saya tidak mahulah terlalu diberi perhatian,” ujarnya.

Sementara itu, Erra, 51, menyokong kenyataan Ezwan yang mahu membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih baik.

“Kami bukanlah seperti pasangan muda lain yang perlu nak ‘declare’ (umum) yang kami bercinta. Lagipun, kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada kemudian hari.

“Saya hanya mengikut sahaja apa yang sudah dilorongkan. ‘Just go with the flow’. Apa yang pasti, saya hanya hendak bawa hubungan ini ke fasa seterusnya. Namun, tanpa sebarang tekanan,” katanya.

Januari lalu, kecoh dalam media sosial Erra dikatakan sedang dilamun cinta selepas memuat naik ucapan berbaur romantis, dipercayai ditujukan kepada seseorang.

Selepas itu, Erra yang juga bekas Ratu Cantik Malaysia itu dilihat semakin terbuka dengan hubungannya, apabila muncul dalam siaran langsung bersama Ezwan di platform media sosial.

Sesi ‘live’ itu mengundang reaksi positif pengikut yang rata-ratanya berharap hubungan mereka berakhir ke jenjang pelamin.