Empat tahun dewan sekolah dalam TLDM Lumut terbengkalai
Pembinaan Dewan Sekolah Menengah Kebangsan Pangkalan TLDM (SMKPTLDM) terbengkalai sejak empat tahun lalu ekoran kontraktor yang memperoleh projek tersebut ‘lari’ selepas gagal menyiapkannya.
Tender bagi projek bernilai RM2.95 juta itu dikeluarkan pada 2015 dan sepatutnya siap pada Januari 2017, sebelum diberi tambahan masa sehingga April tahun sama untuk diselesaikan, namun masih gagal disiapkan.
Tinjauan Jawatankuasa Khas Projek Sakit SMKPTLDM Lumut (Jan 2017) pada 4 Mac lalu mendapati 80 peratus projek itu sudah disiapkan dengan 20 peratus lagi yang tidak siap melibatkan aspek dalaman dewan tersebut.
Pengerusi jawatankuasa itu, Sharifah Hazlina Syed Musa berkata, tinjauan pihaknya mendapati yang terbengkalai adalah kemasan lantai, pendawaian elektrik, sistem pendingin hawa dan peralatan dalam dewan dengan anggaran kasar kos hampir RM1 juta.
Menurut beliau, ketiadaan dewan menyukarkan pentadbir sekolah menjalankan aktiviti melibatkan dewan terutama dalam menjalankan peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Berikutan itu, katanya, 787 pelajar sekolah tersebut bersama 66 guru dan tujuh staf sokongan terpaksa menumpang dewan milik TLDM yang terletak kira-kira satu kilometer dari sekolah itu jika ingin mengadakan aktiviti menggunakan dewan.
“Keadaan ini sudah tentu mengundang beberapa masalah seperti kesukaran ibu bapa dalam aspek pengangkutan dan pengurusan masa termasuk kesesakan lalu lintas apabila berlaku pertembungan masa dengan warga TLDM.
“Begitu juga apabila berlaku pertindihan seperti waktu penggunaan dewan yang sama, sudah tentu keutamaan diberikan kepada pasukan (berbanding sekolah),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Penggerak Komuniti Negara (PKN) Perak, berkata bagi pihak sekolah keutamaan yang sangat kritikal adalah penggunaan dewan sebagai ruang peperiksaan utama, perhimpunan rasmi, aktiviti kokurikulum dan pertandingan sukan.
Jelasnya, isu tersebut sudah diajukan kepada tiga menteri berkaitan iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Katanya, maklum balas diterima agak memberangsangkan apabila jawatankuasa itu difahamkan projek itu dijangka ditender semula bulan depan.
Justeru, katanya, jawatankuasa itu berharap kerajaan lebih berhati-hati memilih kontraktor yang bakal dilantik nanti dengan memastikan ia memiliki rekod kerja cemerlang serta mempunyai semangat dan budaya tanggungjawab sosial korporat, bukan memikirkan keuntungan semata-mata.
“Kami juga berharap projek itu dapat diberikan kepada kontraktor tempatan kerana jika masih diberi kepada kontraktor luar dibimbangi akan ‘lari’ lagi apabila tidak mampu menyiapkannya,” katanya. – Utusan