Ellie Suriaty buat laporan polis, tuntut permohonan maaf ibu bapa Imran Bard

Ellie Suriaty buat laporan polis, tuntut permohonan maaf ibu bapa Imran Bard
Pelakon dan pengarah Ellie Suriaty, 54, menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa pempengaruh Imran Bard yang mencalar nama Ellie menerusi dua hantaran di TikTok dengan kandungan berunsur fitnah.
Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar amat kecewa apabila tindakan Imran itu memperlekeh reputasi yang dibina lebih tiga dekad sebagai anak seni dan dimusnahkan begitu saja dengan kandungan dibuat Imran.
“Dia buat secara sengaja, bukan tak sengaja, bukan terbabas sehingga mendapat perhatian ramai. Saya menjadi bahan lawak jenaka dan kemusnahan sudah berlaku atas jenama, periuk nasi dan rezeki saya.
“Bila seseorang biadap, tak faham adab, saya nak bercakap dengan ibu bapa dia pasal adab. Kalau dia datang minta maaf tak ikhlas, bukan itu saya hargai. Saya mahu ibu bapa dia datang minta maaf dengan saya.
“Apa saja yang dia buat atas nama saya, demi Allah, saya tak izinkan, tak reda. Apa saja rezeki dia dapat guna nama saya untuk popular, dapat rezeki, tawaran, saya tak reda,” katanya pada sidang media, hari ini.
Ellie memaklumkan pihaknya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Kelang pada Ahad lalu dan bakal menyusul laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Dia juga mempertimbang sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang termasuk failkan saman terhadap Imran. Ini kerana hantaran Imran itu meninggalkan impak teruk kepadanya.
“Dia menyentuh pasal kesihatan mental. Ia diperbual dalam komen sehingga saya dituduh ambil barang terlarang. Saya bukan penagih dadah.
“Cuba cakap berapa nilai kalau saya nak saman pun dengan jenama dibina selama ini? Adakah nilai itu nanti akan memadai dengan reputasi saya yang sudah dihina dan kemusnahan berlaku?” katanya.
Ellie berkata disebabkan kandungan hantaran itu, emosi serta rutinnya terganggu selain memberi impak kepada keluarga terutama anak-anaknya.
“Berhari-hari saya tak dapat tidur selepas dapat tahu pasal hantaran itu. Anak saya yang masih bersekolah pun sampai tak ada motivasi hendak ke sekolah kerana cukup terkesan,” katanya.
Isu ini mula timbul apabila Imran sengaja membuat kandungan media sosial dengan menyebut nama Ellie Suriaty menggunakan bahan terlarang menerusi hantaran dimuat naik pada 12 Februari lalu. Tontonannya sudah mencapai tontonan sebanyak lebih 1.3 juta.
Ellie mula sedar akan video berkenaan selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan pada Sabtu lalu.
Selain Ellie, beberapa nama artis lain turut disebut termasuk Datuk Fauziah Ahmad Nawi, Wan Maimunah, Zulin Aziz, Mas Idayu dan lain-lain.