Penyanyi ‘Bea Sobar Bea’, suami menangis bebas tuduhan miliki 6,059 pil kuda

Penyanyi ‘Bea Sobar Bea’, suami menangis bebas tuduhan miliki 6,059 pil kuda
Penyanyi lagu ‘Bea Sobar Bea’, Eda Ezrin dan suami serta empat yang lain dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat, di sini, hari ini daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada 1 November lalu.
Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim terhadap Eda Ezrin atau nama sebenarnya, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dan suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, serta rakan Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa prosiding perbicaraan berlangsung.
Bagi pertuduhan mengambil dadah, semua mereka dikenakan penjara enam bulan dan denda 4,000 baht (RM526) setiap seorang, namun tempoh pemenjaraan itu sudah selesai dilakukan selain disebabkan semua tertuduh berkelakukan baik.
Erdeka dan Zuhaira yang turut didakwa atas pertuduhan memasuki Thailand tanpa dokumen dikenakan denda RM526.
Eda Ezrin serta lima yang lain menangis dan berpelukan di kandang tertuduh selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan mereka dari pertuduhan berkenaan.
Hakim menerusi hujahan penghakiman berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada bukti yang boleh mengaitkan sejumlah dadah berkenaan dengan semua tertuduh.
Malah, katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut tidak menunjukkan bekalan dadah terbabit dibawa oleh mereka.
“Sebaliknya rakaman CCTV menunjukkan bekalan dadah terbabit dibawa masuk oleh tiga individu lain,” katanya.
Sementara itu, peguam kepada kesemua tertuduh, Sufian Abdul Aziz, ketika ditemui di luar mahkamah meluahkan rasa syukur apabila kesemua anak guamnya dibebaskan daripada pertuduhan memiliki dadah.
“Mereka hanya dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda disebabkan mengambil dadah namun hukuman berkenaan sudah selesai dijalankan manakala dua lagi yang memasuki Thailand tanpa dokumen turut dikenakan denda,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini dalam tempoh sebulan dan kesemua anak guamnya perlu berada di dalam penjara terlebih dahulu.
Terdahulu, Eda Ezrin, suami serta empat rakannya tiba di Mahkamah Wilayah Narathiwat, di sini, menaiki trak penjara itu tiba jam 9.10 pagi (waktu Thailand) untuk keputusan berhubung dua pertuduhan yang dihadapi mereka.
Dua pertuduhan berkenaan adalah memiliki 6,059 pil yaba dan mengambil dadah di pekan Sungai Golok pada 1 November tahun lalu, manakala, dua rakan Eda Ezrin berdepan tiga pertuduhan termasuk memasuki Thailand tanpa dokumen sah.
Eda Ezrin, suami dan rakan dibebaskan daripada tuduhan miliki dadah.