“Saya cuma duta yang hanya lakukan promosi” – Jalaluddin Hassan
“Saya cuma duta yang hanya lakukan promosi” – Jalaluddin Hassan
Ketika isu sebuah syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky hangat diperkatakan, nama pelakon Datuk Jalaluddin Hassan didakwa antara selebriti bakal dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kerana peranannya sebagai bertindak duta syarikat itu.
Jalaluddin, 71, bagaimanapun memaklumkan, setakat ini dia tidak menerima sebarang panggilan daripada pihak berkuasa berkaitan kes tersebut.
“Tiada apa-apa panggilan daripada pihak SPRM, saya tidak mahu komen apa-apa,” katanya ringkas ketika dihubungi mStar.
Dalam pada itu, Jalaluddin menjelaskan dia hanya menjalankan tugas membuat promosi syarikat perunding kewangan berkenaan dan tidak terbabit dengan perkara lain.
Malah kata Jalaluddin, tiada apa-apa masalah berlaku sepanjang dia menjadi duta syarikat berkenaan.
“Saya cuma duta yang hanya lakukan promosi, selebihnya tiada apa nak dijelaskan,” katanya.
Pada Ahad, media melaporkan pihak SPRM akan memanggil beberapa selebriti yang didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky.
Difahamkan selebriti yang menjadi duta dilaporkan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat terbabit.
Siasatan terhadap selebriti berkenaan dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Lebih mengejutkan apabila hasil siasatan SPRM turut mendapati sindiket itu turut melabur sejumlah wang yang besar bagi penciptaan lagu membabitkan penyanyi tersohor negara.
Pihak SPRM juga mendedahkan sejumlah wang sebanyak RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket kononnya menawarkan bantuan kewangan, tetapi mengaut sekurang-kurangnya 35 peratus daripada jumlah pinjaman diluluskan bank-bank pada satu masa.
Sejak tiga minggu lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram yang dipercayai didalangi syarikat perunding kewangan.