Asmuni adakan sesi suai kenal bersama Pengerusi JPKK DUN Manjoi

Asmuni adakan sesi suai kenal bersama Pengerusi JPKK DUN Manjoi
Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi DUN Manjoi, Dato’ Asmuni Awi, pagi ini telah mengadakan majlis suai kenal bersama semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam kawasan DUN Manjoi.
Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Dr. Sani, Penghulu Besar Daerah Kinta, yang turut hadir bersama En. Azhari, Penghulu Mukim Chemor.
Dalam ucapan beliau, Dato’ Asmuni menekankan pentingnya kerjasama bersepadu antara Pengerusi JPKK, Pejabat Penghulu, dan Pusat Komuniti DUN Manjoi untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Pertemuan santai pagi ini adalah permulaan kepada sinergi yang lebih erat antara semua pihak. Kita akan adakan mesyuarat tetap setiap dua bulan bagi memastikan segala isu dan permasalahan rakyat dapat dibincang serta diselesaikan secara sistematik,” ujarnya.
Dato’ Asmuni turut menegaskan komitmennya untuk terus memainkan peranan sebagai jambatan antara masyarakat dan Kerajaan Negeri dalam menyampaikan hasrat serta keperluan rakyat DUN Manjoi.