“Nak tegur, mak dia ada kat situ” – Budak 6 tahun mengeluh dapat duit raya RM2 je

“Nak tegur, mak dia ada kat situ” – Budak 6 tahun mengeluh dapat duit raya RM2 je

 

“Nak tegur, mak dia ada kat situ” – Budak 6 tahun mengeluh dapat duit raya RM2 je

Kemeriahan 1 Syawal semakin terasa apabila ramai membuat persiapan raya pada hari-hari terakhir Ramadan.

Malah, ada kanak-kanak sudah menerima duit raya ketika mereka hadir ke masjid bagi menunaikan solat tarawih.

Namun, dalam keterujaan mereka mendapat duit raya itu, timbul situasi yang tidak sepatutnya terjadi.

“Tadi waktu lepas tarawih, ada seorang jemaah ni bagi duit raya kepada kanak-kanak yang ada. Macam biasa anak perempuan saya duduk sebelah mak dia dan malam ni ada dua beradik duduk dekat dia nak main sama-sama dengan mainan dia.

“Lepas jemaah tu bagi duit raya, yang paling muda berusia lingkungan enam tahun tu buka sampul duit raya yang dia dapat, dan beritahu pada kakaknya, dapat RM2 je duit raya, dengan nada suara yang hampa,” kata seorang wanita menerusi satu hantaran di laman sosial.

Mengulas lanjut, katanya, anak perempuannya tidak mengambil wang tersebut pada mulanya kerana dia baru berusia tiga tahun dan masih belum faham tentang amalan pemberian duit raya.

“Saya nak cakap pada budak tu supaya tak cakap macam tu, tapi mak dia ada dekat situ. Mungkin mak dia tak dengar.

“Sebagai ibu bapa, saya merasakan adalah satu tanggungjawab untuk melatih anak-anak supaya berkelakuan baik, bermula dari mereka kecil,” ujarnya.

Tambahnya Aidilfitri akan disambut tidak lama lagi dan adab menerima duit raya perlu diterapkan pada anak-anak agar tidak bersikap biadab.

“Kanak-kanak usia bawah lima tahun kadang mungkin susah nak faham sesuatu sepenuhnya. Tapi saya percaya jika mak ayah ambil tindakan, insyaAllah anak-anak kita akan belajar perlahan-lahan dan boleh menjaga kelakuan mereka.

“Kamu tahu anak-anak sendiri dengan baik dan umur yang sesuai untuk mereka menunjukkan tingkah laku tertentu,” jelasnya.

Bukan sekadar duit raya, malah adab seharusnya diamalkan tanpa mengira waktu dan keadaan terutama apabila ziarah-menziarahi di bulan Syawal.

“Salam orang tua, minta izin dengan tuan rumah, duduk dengan sopan, jangan ambil makanan banyak-banyak tanpa habiskan, buang sampah dekat tempat sepatutnya, ucap terima kasih, jangan buka sampul pemberian duit raya depan orang lain, jangan main telefon atau tablet dengan bunyi yang kuat, sebagai contoh.

“Ini juga menjadi peringatan kepada saya. Rasa besar betul tanggungjawab sebagai mak ayah dalam membentuk sikap dan kelakuan anak perempuan,” katanya lagi.

Perkongsian wanita itu turut disokong rata-rata netizen yang menyifatkan ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak supaya menjaga adab apabila menerima duit raya.

“Raya ni, benda pertama saya ingatkan anak-anak supaya jangan tanya pasal duit raya. Kalau tuan rumah bagi dekat seorang-seorang ambil, kalau ada yang tak dapat jangan minta dan jangan buka sampul raya depan tuan rumah.

“Ajar anak-anak dari kecil, dapat duit raya terus masuk beg. Jangan buka depan orang. Kumpul semua sampul habis raya baru buka, jadi tak ingat siapa beri berapa banyak. Itulah latihan hati untuk kita supaya bersih tak bandingkan apa yang diterima dan syukur je,” komen netizen.